Make your own free website on Tripod.com
 
MJ

Dasar keterbukaan PAS
UMNO CUBA MENGHALANG

KOTA BHARU: PAS sudah lama mengamalkan sikap keterbukaan terhadap orang bukan Islam iaitu sejak parti itu diwujudkan pada awal tahun 1950-an kerana ia menjadi sebahagian ajaran Islam.Bagaimanapun perkara itu diberi gambaran sebaliknya oleh Umno yang menuduh PAS menyekat kebebasan orang bukan Islam dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Umno memainkan peranan untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam mendekati perjuangan PAS kerana khuatir hilang sokongan bukan Islam terhadap parti itu.

"Malah Umno juga memainkan peranan untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam datang ke negeri ini," katanya pada pertemuan dengan rombongan seramai 38 penduduk bukan Islam dari Negeri Sembilan, Perlis, Selangor dan Pahang di JKR 10, malam Selasa lalu.

Menurutnya, Umno cuba memainkan sentimen orang Melayu dengan Melayunya dan orang Cina dengan kelompok mereka sahaja. Beliau berkata, konsep yang diamalkan Barisan Nasional (BN) itu tidak akan membawa hasrat untuk mencapai perpaduan kaum di negara ini.

"Sebenarnya dalam ajaran Islam semua kaum termasuk orang Cina, India dan seumpamanya adalah bersaudara kerana berasal dari satu iaitu Nabi Adam. 

"Cuma yang membezakan di antara kaum-kaum tersebut hanyalah dari segi rupa paras dan warna kulit sahaja," katanya.

Hadir sama pada pertemuan itu, anggota Exco, Haji Annuar Tan Abdullah.

Menteri Besar berkata, kerajaan BN mahu mengekalkan dasar berpuak-puak bagi mengelakkan orang bukan Islam mendekati perjuangan PAS. Menurutnya, banyak perkara menyentuh persamaan hak yang diperjuangkan Islam, sukar untuk difahami orang ramai terutamanya bukan Islam kerana cuba dihalang oleh BN.

"Namun saya tetap melakukan usaha untuk mengeratkan perpaduan orang Islam dan bukan Islam sebagai contohnya tidak lagi memanggil perkatan kafir kepada orang yang belum lagi Islam. "Ini kerana perkataan itu boleh melukakan hati mereka," tambahnya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, sokongan orang bukan Islam terutamanya Cina di sini terhadap PAS semakin meningkat sekarang berdasarkan sokongan mereka kepada calon PAS di kawasan Dun Kota Lama pada pilihan raya umum lalu.
Menurutnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya PAS mendapat sokongan begitu kuat daripada orang Cina di kawasan tersebut. 

Sementara itu, ketika menjawab soalan Myuk Ling, 52 dari Seremban Menteri Besar berkata, dasar keterbukaan PAS bukan bersifat sementara kerana ia sudah menjadi dasar parti itu yang dipertahankan sampai bila-bila.