Rakyat Kelantan matang - Sultan
Oleh Salmah Mat Husin 

KOTA BHARU April 10 (Hrkh) -Sultan Kelantan meminta ulamak di negeri ini menjadi agen menyelesai atau perubah masyarakat dalam menghadapi cabaran alaf baru khususnya bagi menangani keruntuhan moral di kalangan anak-anak muda. 

Baginda yakin, para ulamak juga boleh memainkan peranan dalam menyedarkan atau mendekati golongan tersebut di samping bersikap proaktif terhadap masalah yang ada dengan pendekatan lebih sesuai.

Baginda bertitah demikian sempena perayaan menyambut hari ulang tahun keputeraannya yang ke-50, di Istana Balai Besar, di sini, baru-baru ini. 

Baginda meminta semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menangani masalah keruntuhan akhlak dan moral di kalangan anak-anak muda yang semakin membimbangkan sekarang. 

"Aspek yang penting dalam kehidupan rakyat ialah memiliki kerohanian yang tinggi, peningkatan akhlak dan moral, persoalan ini tidak hanya cukup dengan cakap-cakap atau digembar-gembur di sana sini tanpa perancangan," titah baginda. 

Selain itu, baginda turut menyeru pihak kerajaan dan rakyat di negeri ini memelihara perpaduan dengan penuh bijaksana kerana perpaduan tidak akan wujud dengan sendirinya tanpa perancangan bersungguh-sungguh. 

Titah baginda, berkat perpaduan yang kukuh di antara kerajaan dan rakyat akan memberi gambaran masa depan yang lebih cemerlang. 

Baginda turut berkeyakinan rakyat negeri ini merupakan masyarakat yang matang, di mana mereka telah mewujudkan suasana masyarakat yang tenteram, beradab, bertoleransi dan yakin pada kebolehan diri.

"Beta penuh yakin rakyat beta terdiri dari masyarakat yang bersikap terbuka, mampu memahami isu-isu yang berbangkit di depan mereka dengan teliti dan rasional," titah baginda
lagi.