Make your own free website on Tripod.com
 

Pegawai Yik Rangka Sukatan STAM

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan disifatkan mengiktiraf kemampuan Yayasan Islam Kelantan (Yik) menyediakan kurikulum pendidikan agamanya apabila pegawai dan guru-guru Yik turut terbabit menyediakan sukatan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Anggota Exco, Ustaz Mohamed Daud berkata, antara pegawai Yik yang terlibat peringkat awal menyediakan sukatan STAM iaitu Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan), Ustaz Mansor Daud dan Penolong Pengarah Bahagian Peperiksaan, Ustaz Zakaria Mohamad.
Katanya, pegawai terbabit telah diminta Kementerian Pendidikan membantu mereka menyediakan sukatan STAM.
"Apa yang dilakukan itu adalah jelas mengambarkan sukatan pendidikan agama di Yik turut diiktiraf Kementerian Pendidikan," katanya.
Menurutnya, kurikulum yang dikendalikan Yik diiktiraf Universiti Al Azhar sejak 1994 kerana menggunakan sukatan Maahad Bu'uz.
Selain itu, kurikulum Yik turut menjadi sukatan kepada semua sekolah-sekolah agama rakyat di negara ini.
"Sekiranya sukatan yang dilaksanakan Yik itu tidak sempurna sudah tentu Kementerian Pendidikan tidak akan mengambil pegawai Yik untuk merangka sukatan STAM.
"Oleh itu Yik tetap mempertahankan sukatan agama yang dilaksanakan termasuk untuk peperiksaan Sijil Tinggi Ugama(STU), Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Penilaian Menengah Rendah Ugama (PMRU)," tambahnya.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan mulai tahun depan pelajar-pelajar sekolah menengah kebangsaan agama diwajibkan lulus dalam peperiksaan STAM bagi melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke Universiti Azhar.
Ustaz Mohamed berkata, Universiti Al Azhar sudah mengiktiraf lulusan STU kelolaan Yik melanjut pelajaran ke institusi pengajian tersebut sejak sekian lama.
Sehubungan itu, Yik tetap mempertahankan sukatan STU kerana ia sudah diiktiraf semua pihak sebelum ini, terutamanya universiti di Timur Tengah.

Mazlan Jusoh