Make your own free website on Tripod.com

 

CUBAAN UMNO HARAMKAN ISLAM DARI POLITIK PERPECAHAN MELAYU LEBIH PARAH

KOTA BHARU:  Kira-kira 30,000 rakyat Kelantan menunaikan solat hajat memohon dilembutkan hati pihak yang berkuasa ke atas Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang bertanggungjawab menyekat penerbitan akhbar alternatif, Harakah.

Solat hajat yang diadakan di Stadium Sultan Mohamad Ke IV diimami Tuan Guru Haji Abdullah Abdul Rahman dari Pondok Lubuk Tapak, Pasir Mas.

Lautan manusia yang membanjir stadium tersebut mengaminkan doa panjang memohonkan kepada empunya segala kekuasaan supaya perjuangan Islam dapat diteruskan di bumi ini.

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang turut mengaminkan doa tersebut.

Solat hajat itu dianjurkan PAS Pusat dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Kelantan yang dihadiri puluhan ribu penduduk mencerminkan rakyat Kelantan tidak rela akhbar mereka, Harakah disekat kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta orang ramai yang hadir supaya memohon dilembutkan hati mereka yang berkuasa ke atas KDN, yang bertanggungjawab menyekat penerbitan Harakah dari dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Katanya, hanya Harakah menjadi yang bertindak sebagai radio, televisyen dan suratkhabar kepada PAS untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai.

"Oleh itu, kita memohon supaya Allah melembutkan hati mereka yang berkuasa ke atas KDN bagi membenarkan semula Harakah diterbit macam biasa," katanya.

Sementara itu, pemimpin-pemimpin utama PAS yang berkhutbah pada majlis itu, meletakkan punca perpecahan yang didakwa berlaku di kalangan orang Melayu sekarang berpunca dari Umno kerana tidak mahu kembali kepada Islam.

"Kalau Dr Mahathir tidak bersedia untuk menyelesaikan dakwaan wujudnya perpecahan di kalangan orang Melayu sekarang, dia patut meletak jawatan.

"Dia perlu bertanggungjawab ke atas segala permasalahan yang berlaku terhadap orang Islam di negara ini sekarang," katanya.

Menurutnya, Umno dan Dr Mahathir tidak perlu  meminta pihak lain menyelesaikan masalah tersebut kerana ia berpunca daripada tindak tanduk parti itu sendiri.

Presiden PAS  meminta raja-raja Melayu tidak terperangkap dengan 'jerangkap samar' yang dipasang Umno itu.

Beliau berkata, sepatutnya, Umno mengajak raja-raja Melayu menyelesaikan masalah yang lebih besar lagi berkaitan orang Islam termasuk kes murtad di kalangan orang Melayu.

Katanya, masalah tersebut adalah berkaitan langsung dengan aqidah orang Islam dan memerlukan tindakan secara serius.

"Mungkinkan Umno hanya memandangkan kes murtad seperti kematian kerbau lembu sahaja tanpa perlu mengambil tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, Umno sebenarnya mahu mempergunakan institusi raja-raja Melayu untuk mengharamkan parti yang berpaksi atas dasar agama dengan harapan orang Melayu akan kembali kepada parti itu.

Bagaimanapun katanya, perpecahan orang Melayu akan menjadi lebih besar lagi sekiranya hasrat kerajaan untuk meminda undang-undang bagi melarang mana-mana parti menggunakan agama.

"Kalau setakat tangkap pemimpin PAS dan kurung mereka di bawah ISA, kita boleh sabarkan penyokong PAS daripada bertindak liar.

"Tetapi saya tidak boleh lagi sabarkan mereka kalau Islam hendak diharamkan daripada politik," katanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Dr Mahathir perlu meletak jawatan dan serah semula mandat kepada rakyat sekiranya dia mahu lihat orang Melau kembali bersatu.

Beliau juga mengingatkan insitusi raja-raja Melayu supaya tidak terpengaruh dengan Umno yang mahu mempergunakan mereka demi kepentingan politik mereka.

"Kalau raja-raja Melayu sayangkan institusi mereka, jangan mudah terpengaruh dengan politik Umno.

"Ini kerana institusi raja-raja yang pernah wujud termasuk di India, Filipina dan Singapura kini sudah tiada lagi.

"Dan Tuhan yang sama boleh menghapuskan institusi raja-raja di negara ini sekiranya mereka cuba terlibat dengan kancah politik seperti yang dikehendaki Umno sekarang," katanya.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengingatkan Umno terhadap sejarah parti itu telah menggunakan institusi raja-raja untuk membatalkan muzakarah yang sudah dipersetujui diadakan di antara PAS dan Umno suatu ketika dahulu.

Katanya, PAS sudah lama mengajak Umno supaya bermuzakarah berpaksikan Islam sejak pertengahan tahun 1980-an lagi.

"Bagaimanapun pada saat-saat akhir Umno menggunakan institusi raja-raja untuk membatalkan muzakarah itu biarpun segala persiapan sudah dibuat.

"Namun hari ini Umno sekali lagi mahu menggunakan raja-raja Melayu kononnya untuk menyelesaikan perpecahan di kalangan orang Melayu," tambahnya.