Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan 

Kegawatan: PKINK Tetap Untung

KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) adalah antara enam agen pembangunan milik kerajaan negeri (SEDC) di Malaysia yang masih mencatat keuntungan sewaktu dilanda krisis ekonomi dan kewangan yang paling teruk tahun lalu. 

Manakala SEDC di lima negeri di Malaysia mengalami kerugian teruk dari RM9.8 juta sehingga RM234 juta pada tahun kewangan berakhir 1998. 

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, berkata PKINK mencatat keuntungan RM0.85 juta, Kedah RM20.6 juta, Selangor RM15 juta, Perak RM23.6 juta dan Pahang sebanyak RM26.6 juta. 

Ustaz Abdul Halim berkata, walaupun negeri Kelantan tidak mendapat perhatian wajar dan bantuan kewangan dari Kerajaan Pusat sepertimana negeri-negeri lain yang diberi tumpuan kerana diperintah oleh BN, namun ia masih dapat berjalan dengan baik dan masih mampu membuat keuntungan. 

Katanya, keruntuhan ekonomi negara disebabkan oleh beberapa faktor utama. "Antaranya, persiapan di sektor pertanian tidak dibuat Kerajaan Pusat, sebab itu kita bergantung kepada import bahan makanan, di mana import masih tinggi." 

Ustaz Halim juga menyalahkan sikap pembaziran Kerajaan Pusat yang lebih menumpukan kepada projek-projek mega seperti menganjurkan Sukan Komanwel, perlumbaan kereta Grand Prix Formula Satu dan sebagainya. 

"Tengok negara Singapura, dan negara-negara lain di dunia yang memiliki rizab kewangan yang banyak dan tidak pula boros berbelanja. Ketika berlaku krisis di rantau ini, mereka tidak mengalami keadaan kemelesetan seteruk kita," katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Sultan di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini. 

Beliau berkata, negeri Kelantan masih memiliki banyak kawasan hutan yang kaya dengan hasil balak. 

"Kira-kira lebih 49 peratus negeri Kelantan masih diliputi oleh hutan balak. Malah negeri Kelantan merupakan negeri yang pertama melaksanakan langkah tanam semula pokok-pokok hutan di Malaysia, dan kami tidak rakus menimba hasil hutan seperti kerajaan-kerajaan negeri lain," tegasnya. - Harakah