50 % PELAJAR YIK GAGAL DI AL-AZHAR
PERSATUAN SANGGAH NAJIB

KOTA BHARU:
Sebuah persatuan pelajar-pelajar Kelantan di Mesir yang dikenali sebagai Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) kesal terhadap kenyataan Menteri Pendidikan yang mendakwa kononnya 50 peratus pelajar tajaan PAS gagal di Universiti Al Azhar.  Menurut KPKM, kenyataan itu berunsur fitnah dan tidak berasaskan kepada fakta yang sebenar.   Setiausaha Agungnya, Mazli Mohd Zain @ Zakaria berkata, kenyataan menteri berkenaan disifatkan memperendah-rendahkan pelajar Al Azhar dan sekaligus menghina universiti Islam yang terulung di dunia itu.

"Kenyataan kegagalan sehinga 50 peratus pelajar Kelantan di Mesir adalah agak keterlaluan dan dikeluarkan secara rambang serta tidak berlandaskan fakta.  "Adalah dimaklumkan pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah meminta laporan keputusan peperiksaan melalui persatuan-persatuan pelajar dan setakat ini KPKM belum menerima apa-apa permohonan daripada pihak berkenaan," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar ke sini.

Baru-baru ini, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak mendedahkan kira-kira 50 peratus pelajar sekolah agama rakyat (SAR) yang dihantar ke Universiti Al Azhar gagal dalam peperiksaan di universiti berkenaan.  Menurutnya, ekoran kegagalan itu menurut Najib, pihak Al Azhar tidak lagi mempercayai sistem SAR yang dikendalikan Yik.

Berdasarkan analisa yang dibuat KPKM bagi peperiksaan 1998/99 sebanyak 70.58 peratus daripada 1,421 pelajar lepasan Yik berjaya dalam peperiksaan di universiti berkenaan.  Sebanyak 0.56 peratus mendapat kepujian tinggi dan 9.92 peratus (kepujian).  Manakala bagi sesi pengajian 1997/98 seorang pelajar Yik yang mengikuti mengikuti pengajian di Fakulti Perubatan di Universiti Kaherah, Mohd Nasri Abu Bakar muncul sebagai pelajar terbaik di kalangan berbagai negara di fakulti berkenaan.

Mazli juga berkata, pelajar-pelajar Kelantan di Mesir tidak pernah berada di bawah tajaan PAS dan sudah menjadi dasar KPKM tidak melibatkan diri dalam mana-mana politik kepartian.

Pengarah Yik, Haji Abdul Aziz Yusoff berkata, kebanyakan pelajar-pelajar Yik di Azhar menghadapi masalah dalam hafalan al Quran sebanyak lapan juzuk.  Bagaimanapun katanya, pelajar berkenaan dibenarkan mengulang mata pelajaran itu di tahun yang sama.  "Tiada dalam pengetahuan Yik bahawa ada pelajar-pelajar yang pulang tanpa mendapat ijazah," katanya.
 

Mazlan Jusoh