Make your own free website on Tripod.com
  Ringkas Kelantan

Media peralatkan wanita

KOTA BHARU: Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa dukacita di atas keghairahan media masa yang masih mempamerkan gambar-gambar wanita untuk melariskan bahan penerbitan mereka.

Katanya, apa yang dilakukan oleh penerbit seperti itu sebenarnya cuba menggagalkan usaha Rasulullah saw mengangkat taraf wanita ke tempat yang lebih tinggi.

Ketika merasmikan mesyuarat agung Dwi Tahunan Persatuan Pegawai-Pegawai Hal Ehwal Agama Islam Kelantan di sini baru-baru ini beliau berkata, perkara yang sepatutnya dilakukan ialah menonjolkan imej wanita berjaya dalam kerjaya mereka dan bukannya mempamerkan gambar-gambar ghairah.

"Sebaliknya penerbit sekarang lebih suka mempamerkan golongan wanita yang seksi demi melariskan majalah atau akhbar mereka, walaupun tindakan itu sebenarnya punca berlakunya gejala sosial," ujarnya. 

 

PAS dekati masjid

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Kelantan menolak dakwaan kononnya PAS menggunakan institusi masjid untuk tujuan politik bagi memburuk-burukkan pemimpin Umno.
Sebaliknya, penyokong-penyokong PAS hanya memakmurkan masjid dengan aktiviti keagamaan bagi memastikan fungsi masjid tidak kaku.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Haji Takiyuddin Hassan berkata, sebahagian besar masyarakat yang sering berkunjung ke masjid adalah terdiri daripada ahli dan penyokong PAS kerana mereka gemar menimba ilmu agama.

"Namun malangnya, ahli dan penyokong Umno jarang bertandang ke masjid bagi memakmurkannya dengan pelbagai aktiviti keagamaan termasuk mendengar kuliah agama," katanya di sini.

Sehubungan itu, beliau menolak banyak dakwaan sebelum ini oleh pemimpin Umno, kononnya PAS menjadikan medan untuk menghasut orang ramai membenci kerajaan.

 

Aduan selepas 'pejabat'

KOTA BHARU: Unit Perkhidmatan Pelanggan (UPP) yang diwujudkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk menerima aduan pengguna selepas waktu pejabat mendapat sambutan menggalakkan.UPP mula beroperasi pada 17 November lalu sehingga kini menerima aduan antara 20 hingga 30 aduan setiap hari.

Pengurus Besar AKSB, Haji Fauzi Abdullah, berkata unit itu ditubuhkan bertujuan menerima sebarang aduan orang ramai berhubung kerosakkan dan masalah gangguan bekalan air.

"Untuk menjayakan lagi pusat khidmat tersebut pihaknya juga akan menyediakan mesin menjawab telefon yang akan beroperasi mulai April ini," katanya pada dialog antara Air Kelantan dan pengguna, anjuran Persatuan Pengguna Kelantan, yang diadakan di Dewan Perkumpulan Perempuan Kelantan (PPK), di sini Ahad lalu.

Menurutnya, mesin akan menerima aduan orang ramai untuk direkodkan. 

 

Pejabat Parlimen Tumpat

TUMPAT: Anggota Parlimen kawasan ini, Dato' Kamaruddin Jaffar membuka dua pejabat bagi memudahkan orang ramai datang untuk berurusan dan mengemukakan pelbagai masalah kepada wakil rakyat.

Pejabat Urusan Ahli Parlimen beroperasi di Markaz PAS Tumpat di Cabang Tiga Berangan, dibuka dari hari Ahad hingga Khamis bermula jam 9 pagi dan 5 petang.Pegawai bertugas, Setiausaha Ahli Parlimen, Jamaluddin Ishak dan pembantunya, Ismail Mohamad. Nombor talian di pejabat berkenaan iaitu 09 725 6648 dan fax: 725 2890

Manakala Pusat Khidmat Ahli Parlimen beroperasi di depan Sekolah Rendah Kebangsaan Dalam Rhu, dibuka dari hari Ahad hingga Khamis dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Kakitangan bertugas, Mohd Khairul Asmizol Sohaimi. Talian yang boleh dihubungi 019 981 5332. 

Pegawai Khas Ahli Parlimen Tumpat, Muhammad Nawawi Adam berkata, pejabat-pejabat berkenaan diwujudkan bagi memudahkan orang ramai untuk berurusan.

Kursus usahawan tani

KOTA BHARU: Jabatan Pertanian Kelantan mempelawa belia-belia yang berminat dalam bidang usahawan tani mengikuti kursus di bidang berkaitan di Pusat Latihan Pertanian Lundang pada 9 April hingga 30 Jun depan.

Modul pertama membabitkan kursus asas pembentukan usahawan tani akan diadakan pada 9 hingga 13 April 2000, latihan teknikal tanaman sayuran dan jangka pendek (23 April hingga 11 Mei 2000) dan latihan persediaan projek (21 hingga 25 Mei). Manakala latihan dampingan (1 hingga 30 Jun 2000).
Penolong Pengarah Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pertanian Kelantan, Mohd Kaberi Ghani berkata, kursus tersebut diadakan bertujuan untuk melahirkan usahawan tani yang mampu berdikari.

Borang permohonan boleh didapati di pejabat pertanian berdekatan. Permohonan ditutup 29 Febuari ini.