Make your own free website on Tripod.com
 
Ringkas Kelantan

31 masjid kendali TQH

MACHANG: Sebanyak 31 buah masjid mukim di negeri ini menerima peruntukan yang berjumlah RM89,100 bagi mengendalikan Tabung Qardhu Hassan (THQ) sebagai pinjaman tanpa faedah kepada penduduk miskin.

Peruntukan itu bagi tahun 1999 diterima bagi setiap masjid berkenaan antara RM1,100 dan RM4,600 sebuah, sebagai modal bagi menjayakan pinjaman tanpa faedah.
Penyampaian cek pinjaman tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Sukan, Ustaz Hassan Muhamad di Dewan Majlis Daerah Machang, Khamis lalu.

Ustaz Hassan berharap setiap masjid yang terpilih bagi menjayakan program tersebut perlu memikul tanggungjawab dengan ikhlas dan jujur untuk manfaatkan golongan yang memerlukan bantuan.
Katanya, kejayaan tabung tersebut adalah bergantung kepada imam-imam dan penghulu serta ahli jawatankuasanya. 

Persidangan Dun 28 Feb

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan kali kedua bagi tempoh penggal pertama, Dewan Undangan Negeri ke 10 akan diadakan pada 28 Febuari ini.
Tiga rang undang-undang dijangka dibentangkan pada persidangan tersebut iaitu Enakmen Perbekalan Tambahan ketiga (1999) Tahun 2000, Enakmen Pinjaman (Pelan Kontijensi Y2K) (Tahun 2000) dan Enakmen Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (Pindaan) Tahun 2000. 

Setiausaha Dun Kelantan, Mohd Yusoff Hassan berkata, pihak kerajaan juga akan menjawab soalan-soalan bertulis dan lisan daripada Adun-adun. Dun Kelantan mempunyai 43 Adun termasuk dua dari pembangkang.

Sementara itu, Mohd Yusoff, 35 baru memegang tersebut bagi menggantikan Ahmad Robert Abdul Rahim yang kini bertukar ke Jeli.  Beliau yang berkelulusan Universiti Of Nebraska, Amerika Syarikat memulakan tugas pada 1 Januari lalu.

RM3.6 juta beli lori

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sedang berusaha meningkatkan kebersihan bandar dengan memastikan sistem pungutan sampah berjalan dengan lancar. Yang Dipertuanya, Haji Ramli Abu Bakar berkata, pungutan sampah di kawasan pentadbirannya akan berjalan lebih sempurna lagi apabila tiga lori pengangkut sampah baru yang ditempah dijangka tiba April depan.

Katanya, setiap lori berkenaan berharga RM180,000 yang berkemampuan mengangkut sampah secara lebih teratur.
Menurutnya, lori-lori yang sedia ada tidak dapat berfungsi dengan baik memandangkan usianya hampir 10 tahun.

"MPKB memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta bagi membeli sebanyak 20 buah lori pengangkut sampah tahun ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap masalah pungutan di kawasan bandar dapat diselesaikan. 

 

140 budak berkhatam

BACHOK: Seramai 140 belia dan kanak-kanak yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Jelawat diraikan pada majlis kesyukuran dan khatam al-Quran.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa, Haji Omar Muhamed yang diadakan di Pasti Gunong, dekat sini, baru-baru ini. Adun Jelawat, Haji Shaari Awang berkata, ibu bapa perlu menghantar anak-anak mengaji al-Quran sejak kecil lagi dengan guru-guru bertauliah seperti Pegawai Halaqat di tempat masing-masing. 

Katanya, perkara itu penting dalam usaha memastikan bacaan al Quran anak-anak betul sejak kecil lagi dan tidak menimbulkan masalah dikemudian hari.
"Kalau boleh biarlah mereka berkhatam al-Quran dalam usia yang muda lagi," katanya.

 

Bola sepak 5 sebelah

KOTA BHARU: Penghuni Desasiswa Murni Universiti Sains Malaysia (USM) cawangan Kelantan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan akan menganjurkan Kejohanan bolasepak Futsal lima sebelah awal Mac ini.

Kejohonanan itu membabitkan intitusi pendidikan tinggi awam dan swasta. Penolong Pendaftar (Perhubungan Awam) USM Kubang Kerian, Syuhazlina Awang Mat berkata, kejohanan tersebut menawarkan hadiah bernilai RM3000 yang akan diadakan pada 3 hingga 5 Mac 2000 bertempat di Kompleks Sukan USM cawangan Kelantan.

Pertanyaan lanjut boleh menghubungi Mohd. Faizal Abu Bakar di talian 09-760 1331 atau 019-560 2989.