REPOT POLIS KETUA PEMUDA PAS KELANTAN
 

KOTA BHARU RPT. NO______________

Pada 22/8/99, kira-kira jam 5.00 petang, saya telah menerima sekeping kaset daripada seseorang yang saya tidak kenali yang dikirimkan ke pejabat saya di Tingkat 6, Bangunan PKINK, Jalan Tengku Maharani, 15000 Kota Bharu, Kelantan.

Apabila saya memasang kaset tersebut, saya mengenali dengan pasti suara salah seorang orang yang bercakap di dalam kaset tersebut, iaitu Senator Datuk Paduka Ibrahim Ali, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.  Setelah saya selidiki, saya mendapat tahu bahawa beliau memberi ucapan tersebut dalam satu ceramah Barisan Nasional di Stadium Mini Pasir Mas pada 14/8/99, kira-kira jam 10.00 malam hingga 10.30 malam.

Setelah mendengar kandungan ucapan Datuk Paduka Ibrahim Ali tersebut, saya dapati ada unsur-unsur hasutan kepada orang ramai supaya mengadakan perhimpunan haram di Bandar Kota Bharu pada 31/8/1999.  Kandungan ucapan yang berkaitan adalah seperti berikut:
 


" Ambo nak ingat adik kakak, pada 31 Ogos ini, hari Kemerdekaan, kita akan adakan perhimpunan besar di Kota Bharu.  Perhimpunan menyambut Hari Kemerdekaan di mana YBM. Tengku akan beri amanat, pukul 3.00 petang,
di depan Pejabat UMNO Kelantan sampailah ke kawasan Balai Besar.  Ambo nak minta adik kakak semua yang ada
pada malam ini tolong beritahu kepada yang tak mari, kita akan turun berduyun-duyun.  Mari kita jadikan sambutan Hari Kemerdekaan, 31 Ogos, anjuran UMNO dan Barisan Nasional sebagai Hari Keramat Kebangkitan rakyat untuk menukar Kerajaan Pimpinan PAS Kelantan dalam pilihan raya akan datang.  Kita dah susun dah, ambo jangka 100,000 orang akan hadir, kena turun awal-awal lagi...."

Saya membuat repot ini sebagai seorang warga bandar Kota Bharu yang bimbangkan kemungkinan perhimpunan haram di sisi undang-undang itu akan menimbulkan kekacauan serta mengancam keamanan dan keselamatan awam.  Ianya juga akan menjadi unsur provokasi yang boleh mengakibatkan keadaan yang tidak diingini berlaku.

Saya memohon pihak polis mengambil sesuatu tindakan berdasarkan Akta Hasutan dan juga Akta Polis 1967.  Bersama-sama ini saya kemukakan kaset berkenaan.

Sekianlah repot saya.
 

------t.t------------------
.........................................
TAKIYUDDIN BIN HASSAN,
K/P: 6361625
Tarikh: 23/8/1999