Make your own free website on Tripod.com

BERITA MALAYSIA


30 JANUARI, 2000 18:04PM

 

KELANTAN TIADA HASRAT PINDA PERLEMBAGAAN

 

KOTA BAHARU, 30 Jan (Bernama) -- Kerajaan PAS Kelantan tidak berhasrat meminda perlembagaan negeri kerana berpuas hati dengan pelaksanaan "sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan" di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerajaan negeri pada masa ini mendapati semua pihak yang terlibat termasuk rakyat memberikan kerjasama bagi menjayakan pentadbiran negeri berasaskan akidah dan syariat Islam.

"Saya melihat ruang yang ada masih selesa untuk membolehkan kita melaksanakan agenda pentadbiran membangunkan negeri dan rakyat berteraskan akidah dan syariat Islam.

"Bagaimanapun seandainya ruang kuasa yang disediakan habis digunakan dengan keadaan masih tidak menunjukkan apa-apa pencapaian, mungkin kita fikirkan lain-lain cara yang sesuai," katanya ketika merasmikan majlis penyerahan watikah pelantikan kepada kira-kira 600 penghulu Kelantan di sini hari ini.

Nik Aziz membuat kenyataan itu selepas sebuah akhbar harian pada bulan lepas mendakwa kerajaan negeri akan membuat pindaan pelembagaan bagi membolehkan mendapat lebih kuasa pentadbiran termasuk mengambil alih Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) yang kini merupakan sebuah badan bebas.

Nik Aziz berkata kerajaan Kelantan dalam menangani sebarang isu, lebih memilih satu pendekatan yang berhemah tanpa menimbulkan ketegangan dan tanpa mengeruhkan suasana dengan mana-mana pihak.

"Kerajaan masih yakin dengan semangat muafakat, saling mendengar pandangan dan menghormati sempadan bidang kuasa masing-masing setakat yang diperuntukkan oleh perlembagaan, boleh menyelesaikan sebarang masalah yang timbul antara kerajaan negeri dengan mana-mana pihak yang berkenaan," katanya.

Beliau berkata isu pindaan perlembagaan tidak sepatutnya dijadikan satu isu yang sensasi kerana semua pihak memahami bidang kuasa dan fungsi kuasa masing-masing.

"Apa yang penting masing-masing perlu memahami iltizam dan bidang kuasa yang sedia diperuntukkan melalui perlembagaan undang-undang tubuh kerajaan negeri Kelantan berdasarkan sistem demokrasi sekarang," katanya.

Katanya walaupun berlaku sedikit kelambatan dalam melaksanakan beberapa dasar kerajaan tetapi diberkati dengan semangat muafakat, kerjasama dan kesabaran semua pihak termasuk penghulu, kesemua masalah dapat diatasi dengan baik.

Ditanya mengenai kekosongan dua jawatan Exco kerajaan negeri, Nik Aziz berkata kerajaan negeri belum membuat pengisian kerana masalah kewangan.

Pada masa ini terdapat sembilan anggota exco daripada 11 anggota yang dibenarkan. -- BERNAMA

 


Copyright ©2000 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.