BERITA MALAYSIA

August 07 , 1999 16:26PM
 

 KELANTAN PUNYAI PROSPEK BESAR MAJUKAN
 PROJEK PETROKIMIA

 BACHOK, 7 Ogos (Bernama) -- Kelantan mempunyai prospek besar
 dalam projek petroleum dan petrokimia, kata Menteri Pembangunan
 Luar Bandar Datuk Annuar Musa.

 Beliau berkata, petroleum yang terdapat di perairan Kelantan telah
 mula dikeluarkan dan dijual ke Thailand.

 "Pada dasarnya jemaah menteri bersetuju menyediakan peruntukan
 besar untuk memajukan projek petrokimia di negeri ini dan akan
 dilaksanakan apabila tiba masa yang sesuai," katanya kepada
 pemberita di sini, hari ini.

 Annuar berkata, penduduk yang tinggal terutamanya di Bachok
 dan Pasir Puteh dijangka mendapat manfaat melalui peluang
 pekerjaan dan pelbagai ruang perniagaan apabila projek petrokemia
 itu dilaksanakan.

 Annuar berkata, ini sejajar dengan hasrat kerajaan pusat untuk
 mewujudkan zon pertumbuhan bandar-bandar baru persisiran
 pantai yang meliputi jajahan-jajahan Tumpat, Bachok dan Pasir
 Puteh. -- BERNAMA
 
 
 
 

Copyright ©1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.