Husdani Mamat


Pelancong minta contohi kerajaan PAS

KOTA BHARU: Pelancong-pelancong yang melawat Kelantan gembira dan berpuas hati kerana menerima layanan istimewa daripada seorang Menteri Besar ketika berkunjung ke negeri ini, semasa cuti Tahun Baru Cina, baru-baru ini. 

Menurut mereka kesudiaan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi taklimat mengenai pentadbiran kerajaan negeri jarang berlaku di negeri-negeri lain, di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

"Dengan penjelasan dan penerangan daripada Menteri Besar, kami merasa lebih jelas dan faham mengenai pentadbiran kerajaan Kelantan," ujar Haji Mohammad Abdullah yang berasal dari Shah Alam.
Beliau bersama-sama 120 peserta dari Seksyen 17, Shah Alam, Selangor berkunjung ke Kelantan untuk mengikuti perkembangan semasa yang berlaku sekarang. 

"Setelah mendengar sendiri penerangan dan taklimat mengenai pentadbiran kerajaan negeri, saya lebih yakin kepada pemimpinan PAS untuk mentadbir negara ini," ujarnya yang sebelum ini pernah menjadi ahli Umno.

Tok Batin Orang Asli dari Pulau Carey, Telok Panglima Garang, Selangor, Alim Abdullah turut tertarik dengan apa yang dilaksanakan di Kelantan kerana kerajaan negeri bersikap adil kepada semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama.

"Saya gembira dan cukup senang hati dengan cara hidup dan pergaulan tanpa mengira bangsa dan agama rakyat di Kelantan. Mereka hidup dalam suasana harmoni dan aman damai," katanya. 

Devantirn dari Taman Sentoasa, Klang, Selangor, melahirkan rasa senang hatinya selepas mengetahui masyarakat India di negeri ini mendapat penghargaan dari kerajaan Kelantan. Katanya, sebelum ini beliau mendengar berita kononnya masyarakat berkenaan disisihkan kerajaan PAS. 

"Kawan-kawan saya orang India yang ditemui memuji kerajaan PAS Kelantan yang mentadbir Kelantan sejak 10 tahun lalu, lebih telus dan tidak banyak menyusahkan rakyat," katanya. 

Mohd Sharif Hassan dari Pontian, Johor, berkata, beliau cukup tertarik dengan budaya hidup orang Kelantan yang begitu ramah dan mudah mesra.  Beliau turut berharap PAS berkembang ke seluruh negara dan dapat menubuhkan kerajaan di beberapa buah negeri lain. 

Norwati Sulaiman pula berkata, hasil daripada lawatan ke Kelantan saya dapat menimba banyak pengalaman mengenai kehidupan masyarakat di negeri ini. "Apa yang diberitakan mengenai Kelantan, berbeza dengan apa yang dilihat sendiri," ujarnya yang datang bersama-sama rombongan dari Syarikat Hitachi Electronics Devices Sdn Bhd, Senai Johor.

Mahellah Omar, berkata beliau sentiasa mengikuti perkembangan mengenai negeri ini, tetapi apa yang didengar berbeza dengan yang dilihat. "Saya harap sesiapa yang ingin melawat Kelantan, boleh datang dan melihat senidri pentadbiran dan corak pemerintahan negeri ini yang nyata berbeza dengan negeri-negeri lain," ujarnya