PENDUDUK PATTANI PERTAHAN KEPIMPINAN ULAMA' DI KELANTAN

PATTANI (Selatan Thailand): Penduduk-penduduk Islam di sini tidak rela membiarkan kepemimpinan ulama' di Kelantan bertukar tangan memandangkan usaha memartabatkan syiar di negeri berkenaan sudah terbukti sekarang.
Mereka berkata, kejayaan yang dirintis kepemimpinan ulama' tidak harus dibiarkan untuk dihalang oleh pihak-pihak lain yang cuba untuk berkuasa di negeri tersebut.
Abdul Ghani Haji Muda, 41 dari Tanjung Pauh, Pattani berkata, Menteri Besar Kelantan sekarang adalah seorang pemimpin Islam yang dianggap terbaik di rantau ini pada dekat ini.
Katanya, kejayaan membaiki pemikiran umat Islam kepada kehidupan beragama diakui semua pihak termasuk penduduk di Thailand, Asia Tenggara dan negara-negara Arab.
"Malah penduduk Islam di Asia Tenggara lebih bersatu sekarang dengan adanya seorang pemimpin ulama' yang ikhlas dalam perjuangan Islam," katanya di sini, baru-baru ini.
Malah tambahnya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah tempat rujukan dan model bagi kepemimpinan Islam pada masa sekarang dan akan datang.
Menurutnya, kejayaan yang dirintis di Kelantan seharus dipertahankan oleh rakyat negeri tersebut dan Malaysia amnya.
Mohd Zaidi Awang, 32 dari kampung yang sama berkata, biarpun beliau tidak pernah bersua muda dengan Menteri Besar Kelantan sebelum ini, namun cerita mengenai kehebatannya tidak boleh dipertikaikan lagi.
Katanya, syiar Islam sekarang dapat dipertingkatkan lagi dengan adanya pemimpin seperti itu.
"Saya mendengar dari rakan-rakan, banyak tempat-tempat kuliah agama muncul di Kelantan. Rakyatnya cukup berminat dengan agama berbanding sebelum 1990," katanya.
Oleh itu, beliau tidak rela melihat perkembangan Islam yang begitu subur sekarang di Kelantan disekat oleh pihak tertentu yang berkepentingan.

HARAKAH