Kezaliman terhadap Anwar
APA PENDIRIAN MUFTI

KOTA BHARU: PAS mempersoalkan pendirian mufti-mufti di negara ini berhubung kezaliman dahsyat yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Presidennya, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor berkata, apakah sikap sebenar mufti-mufti di negara ini dengan menyokong sebuah pemerintahan yang zalim.
"Apa sikap dan pendirian mufti-mufti terhadap isu yang berlaku di depan mata mereka sekarang," katanya pada ceramah di Pekan Melor, malam Isnin lalu.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan, Yang Dipertua PAS Peringat, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh dan Setiausaha Perhubungan KeADILan Kelantan, Nik Mohd Yusof Nik Ismail.
Presiden PAS berkata, mufti-mufti perlu menyatakan pendirian mereka berhubungan kezaliman yang berlaku sekarang.
Baru-baru ini, Mufti Perlis, Dato' Alim Panglima Mat Jahaya Hussin membuat laporan polis berhubung fitnah dalam internet kononnya beliau mengajak umat Islam berjihad menentang kezaliman BN.
Sementara itu, Nik Mohd Yusof meminta Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah menarik balik kenyataannya yang menuduh keluarga Anwar Ibrahim yang menyebabkan keracunan arsenik kepada pemimpin berkenaan.
"Kenyataan yang dikeluarkan Peguam Negara menampakkan dia bukan seorang yang tidak profesional dalam bidang tugasnya dan menggambarkan sikapnya yang hipokrit," katanya.
Baru-baru ini, Tan Sri Mohtar dilaporkan mengeluarkan kenyataan keracunan arsenik berlaku terhadap Anwar kemungkinan disebabkan keluarganya sendiri.

Mazlan Jusoh
Harakah