MJ

Penyelesaian hak milik tanah lebih cepat

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sedang berusaha untuk mempertingkatkan kecekapan di bidang pentadbiran terutamanya berkaitan tanah bagi menyelesaikan secepat mungkin setiap permohonan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pentadbiran Awam, Haji Takiyuddin Hassan berkata, segala permasalahan berkaitan di bidang berkenaan sedang dikenalpasti dan akan diatasi secepat mungkin.

Katanya, hasil lawatan ke beberapa Pejabat Tanah dan Jajahan sebelum ini termasuk Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat mendapati sebahagian masalah yang timbul adalah berkaitan urusan penyelesaian tanah.

"Kerajaan negeri sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah proses hak milik tanah secara cekap dan cepat," katanya di sini.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat beberapa masalah yang menyebabkan sesetengah permohonan hak milik tanah lambat diselesaikan. Antaranya, terdapat permohonan bertindih, permohonan tidak sempurna, tanah rezab kerajaan, hutan simpan dan tidak pasti lokasinya.

Sehubungan itu, beliau berharap setiap permohonan orang ramai mengenai hak milik tanah hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Ini penting bagi membolehkan pegawai di bahagian berkenaan menyelesaikan setiap permohonan dengan lebih cepat," katanya.