HARAM LAKSANAKAN PROJEK MEWAH

BACHOK:
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan adalah haram hukumnya menggunakan duit kerajaan bagi melaksanakan projek yang bersifat mewah sedangkan dalam  masa yang sama, masih ramai rakyat menderita.
Beliau berkata, adalah tidak kena sama sekali apabila kerajaan lebih mementingkan projek mewah sedangkan ada rakyat yang tidak cukup makan, gagal jelaskan bil hospital dan tiada biasiswa membantu pelajar cemerlang.

"Sekiranya di negara kita masih ramai rakyat yang hidup susah adalah haram kerajaan membuat projek yang dianggap membazir," katanya pada ceramah di Kampung Wakaf Zin, Tawang, Bachok, malam Khamis lalu.
Hadir sama di majlis itu, Ketua KeADILan Kelantan, Ustaz Mohamad Mustafa, wakil rakyat Tawang, Ustaz Hassan Muhmood dan Ketua Pemuda PAS Bachok, Wan Nik Yusof Ngah.

uan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Islam tidak menghalang untuk sesebuah kerajaan melaksanakan projek mewah, sekiranya sumber kewangan yang ada lebih dari mencukupi.  "Tetapi amat malangnya di negara ini masih ramai rakyat yang hidup susah, namun pemimpinnya lebih gemar untuk mendirikan bangunan-bangunan tinggi," katanya.  Antara projek mewah dilaksanakan kerajaan BN sekarang termasuk Menara Kembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang dan Menara Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ustaz Mohamad berkata, beliau menyertai perjuangan bersama Barisan Alternatif kerana sudah tidak tahan lagi melihat penghinaan yang dilakukan Umno terhadap hukum Allah.  Katanya, kezaliman yang amat ketara dilakukan pemimpin Umno apabila mereka dengan mudah mengenepikan hukum Allah.  "Kita tidak perlu bersyukur kepada kerajaan yang ada sekarang, kerana kerajaan (BN) tidak pernah berterima kasih kepada Tuhan.

Pada majlis itu, bekas jawatankuasa Umno Cawangan Wakaf Zin, Ayub Saamah bersama 60 anggota keluarga dan rakan-rakannya menyerah borang menyertai PAS.

Mazlan Jusoh
Harakah.