Make your own free website on Tripod.com

 

UMNO Kelantan Kecewa Sikap Ku Li

 

KOTA BHARU, 8 Mac: Rakyat Kelantan terutamanya ahli dan penyokong UMNO kini semakin hilang kepercayaan terhadap Tengku Razaleigh Hamzah memandangkan pemimpin berkenaan tidak menyatakan pendirian secara tegas mengenai pertandingan jawatan tertinggi UMNO pada perhimpunan agungnya Mei depan.

 

Sebelum ini mereka menaruh harapan besar supaya Ku Li bersedia menawarkan diri bertanding pada mana-mana jawatan tertinggi dalam UMNO, namun Ku Li kelihatan tidak bermaya untuk menyahut cabaran tersebut.

 

Jurucakap sumber UMNO Kelantan, penyokong UMNO di negeri ini kecewa dengan tindak tanduk Ku Li yang dianggap gagal membawa aspirasi rakyat Kelantan.  Katanya, sepatutnya Ku Li menggunakan peluang dan kesempatan yang ada untuk menawarkan diri bertanding dalam mana-mana jawatan tertinggi UMNO samaada Presiden atau Timbalan Presiden UMNO.

"Karier politik Ku Li kini berada di penghujung kerana beliau takut untuk menyatakan pendirian bertanding jawatan tersebut," katanya.

 

Baru-baru ini, tiga Menteri Besar iaitu Dato' Syed Razak Syed zain (Kedah), Dato' Seri Shahidan Kassim (Perlis) dan Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali (Perak) mencadangkan Ku Li bertanding bagi kerusi Naib Presiden bagi mengelakkan perpecahan dalam UMNO.

 

Menurut jurucakap UMNO Kelantan lagi, rakyat negara ini perlukan seorang pemimpin yang sanggup untuk membawa keluar kemelut rakyat di bawah kepimpinan sekarang yang sudah tidak relevan lagi.

 

Katanya, UMNO sekarang bukan lagi sebuah parti kebanggaan orang Melayu seperti dahulu kerana sekarang nilai-nilai perjuangan tulen sudah tidak ada.

"UMNO kini adalah UMNO yang tidak mempunyai sistem demokrasi dan mengamalkan sikap siapa yang pandai "korek" dia akan dapat sesuatu termasuk pangkat dan harta," katanya.

Menurutnya, Ku Li perlu menyatakan pendiriannya secara tegas dan tidak perlu terpengaruh dengan mana-mana pemimpin yang cuba mengekalkan kekuasaan sampai bila-bila.

 

Sebelum ini, Ku Li tidak pernah menyatakan pendiriannya untuk bertanding dalam mana-mana jawatan tertinggi UMNO Mei depan.