BERITA MALAYSIA


March 03 , 2000 19:34PM

 

NIK AZIZ MINTA KEPUTUSAN TERHADAP HARAKAH DIKAJI SEMULA

 

KOTA BAHARU, 3 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini meminta kerajaan pusat mengkaji semula keputusannya yang membenarkan akhbar rasmi PAS, Harakah, diterbitkan hanya dua kali sebulan.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berharap akhbar itu akan dibenar diterbitkan dua kali seminggu saperti sebelum ini.

Ini selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu rakyat negara ini memperbanyakkan saluran ilmu dan membentuk masyarakat bermaklumat, katanya.

"Saya kalau boleh nak minta akhbar itu diterbitkan setiap hari sesuai dengan konsep itu", katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pangkalan Chepa sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

Rabu lepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Harakah yang sebelum ini diterbitkan dua kali seminggu pada Isnin dan Jumaat, kini hanya boleh dikeluarkan dua kali sebulan.

Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata peraturan baru itu bertujuan menyeragamkannya dengan kekerapan penerbitan akhbar atau majalah oleh semua parti politik. -- BERNAMA

 


Copyright ©2000 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.