Make your own free website on Tripod.com
   

Sikap Liberal PAS Sudah Lama

Kota Bharu, (Hrkh) - PAS Menolak dakwaaan Presiden MCA, Dato' Seri Ling Liong Sik kononnya parti itu hanya sekarang mengambil pendekatan liberal terhadap masyarakat Cina.

Mursyidul Am PAS, YAB Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat berkata, sebenarnya PAS sudah lama mengamalkan sikap liberal terhadap penduduk bukan Islam di negara ini.

Katanya PAS menggunakan kaedah itu memandangkan Islam menganjurkan sikap liberal terhadap penduduk bukan Islam.

"Keadaan ini terbukti apabila PAS mengadakan hubungan rapat dengan orang bukan Islam melalui Majlis Perundingan Cina (CCC) sebelum ini," katanya di sini.

Baru-baru ini, Ling melahirkan rasa hairan kenapa PAS tidak mengambil pendekatan sedemikian sejak 40 tahun lalu tetapi hanya berbuat demikian sekarang.

Tuan Guru Dato' Hj. Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Umno sekarang yang begitu hairan dengan perubahan sikap orang Cibna terhadap PAS.

Katanya, sambutan itu cukup terasa apabila penduduk Cina dari luar Kelantan yang begitu ramai berkunjung ke sini sekarang.

"Saya menerima kunjungan mereka setiap masa dan tidak putus-putus sejak perayaan tahun Baru Cina,baru-baru ini" katanya.

Menurutnya, hubungan PAS dengan masyarakat Cina begitu erat sejak penubuhan CCC dan sekarang diteruskan dengan kerjasama dalam Barisan Alternatif.