BN TEWAS BERDEPAN DENGAN MEDIA PEMBANGKANG


KOTA BHARU, 3 Mac (Hrkh) - Kerajaan Barisan Nasional (BN) dianggap sudah tewas dalam percaturannya berdepan dengan media pembangkang apabila terpaksa menggunakan kaedah terakhir, menyekat penerbitan akhbar milik PAS, Harakah.

Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Mohd Amar Abdullah berkata, pelbagai tekanan yang dikenakan terhadap Harakah sebelum ini tidak berjaya untuk menghalang minat orang ramai mendapatkan akhbar berkenaan.

Katanya, sekatan yang dikenakan sebelum ini termasuk mewajibkan penjualan di markaz milik parti dan untuk ahli sahaja dianggap tidak berjaya menghalang orang ramai membaca Harakah.

"Oleh itu jalan terakhir yang digunakan sekarang dengan menghadkan penerbitan dengan harapan akhbar milik PAS itu tidak popular lagi di kalangan rakyat," katanya pada kuliah mingguan di Dewan Zulkefli Mohamad Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, Jumaat lalu. Menurutnya, Harakah sebelum ini dibenarkan diterbitkan dua kali seminggu dan peraturan sekarang hanya dua kali sebulan.

"Inilah tekanan yang dilakukan sebuah kerajaan dengan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara melalui akhbar bukan milik kroninya," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, jalan terakhir untuk menyelamatkan media milik PAS berkenaan dengan mengadakan solat hajat oleh semua peminat dan pembaca Harakah di seluruh negara.

Pada kuliahnya juga beliau memberitahu pemerintahan yang hanya bermegah dengan pembangunan dan seni bina bangunan lambat laun akan tenggelam segala kekuasaannya.

Menurutnya, sejarah sudah membukti pemerintahan yang pernah bermegah dengan seni bina bangunannya sudah tenggelam dibawa arus dan cuma tinggal keindahan seni binanya sahaja seperti Taj Mahal di India.

"Keadaan yang serupa akan berulang sekarang apabila ada kerajaan hanya bermegah dengan keindahan seni binanya hanya menanti masa menerima nasib yang serupa," tambahnya.