DAP Adakan Dialog Seluruh Negara Bagi Hapuskan Ketakutan Kaum Cina terhadap PAS

 

DAP akan meneruskan siri dialog ke seluruh negara bagi memberi penjelasan kepada masyarakat Cina bertujuan untuk menghapuskan rasa bimbang dan takut kaum Cina terhadap PAS.

Pengerusi DAP kebangsaan, En. Lim Kit Siang berkata, DAP telah mengadakan dua siri dialog sebelum ini bersama dengan YAB Menteri Besar Kelantan dan YAB Menteri Besar Terengganu bagi menangkis tohmahan dan kempen kerajaan yang cuba menimbulkan ketakutan dan kebimbangan kaum Cina terhadap kerjasama PAS dan DAP, dan juga terhadap PAS itu sendiri.

 

Menurut Lim, pihak MCA dan kerajaan dalam pilihan raya umum lalu telah mengugut kaum Cina dengan berkempen bahawa babi, arak dan kuil tidak akan diizinkan jika PAS dan BA memerintah.  Tambah Lim lagi, MCA dan pihak kerajaan juga mengugut kaum Cina melalui slogan penubuhan Negara Islam oleh PAS.  Kedua-dua perkara ini telah menimbulkan ketakutan yang tidak berasas dalam diri kaum Cina terhadap dasar PAS.

 

Beliau berkata, jika kedua-dua perkara ini tidak dapat diatasi, adalah sukar bagi PAS untuk mendapatkan sokongan daripada kaum Tionghua.  Menurut Lim, masalah ini juga boleh diatasi melalui  program lawatan kaum Cina ke Kelantan dan Terengganu. Di samping itu, menurut Lim lagi DAP dan kaum Cina juga perlu kepada pemahaman yang jelas terutama mengenai prinsip dan konsep "Politik Islam" itu sendiri yang terkandung di dalamnya  prinsip  demokrasi. Dengan cara ini, sokongan kaum Cina terhadap Barisan Alternatif boleh ditingkatkan dan pandangan negatif serta "baseless fear" kaum Cina terhadap PAS boleh diatasi.

 

Lim juga berkata, perasaan prejudis kaum Melayu terhadap DAP juga telah dapat didapat dikurangkan melalui kes Lim Guang Eng. Menurutnya, kes tersebut sekurang-kurangnya memberi kefahaman kepada masyarakat Melayu bahawa DAP bukannya anti Melayu dan bukan anti Islam.

 

En. Lim Kit Siang berkata demikian dalam Majlis Dialog dan Makan Malam bersama Pimpinan Barisan Alternatif di Hotel Perdana 9 Mac lalu. Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Dato' Presiden PAS, Ustaz Dato' Hj. Fadzil Mohd Noor dan juga Naib Presiden Keadilan, Dato' Sheikh Azmi.