BN Amal Politik Balas Dendam

 

Barisan Nasional sekarang sedang mengamalkan politik balas dendam terhadap pembangkang.  Perkara ini jelas dapat dilihat selepas pilihan raya umum apabila BN bertindak ke atas pihak-pihak tertentu terutama golongan profesional yang menyokong parti pembangkang semasa pilihan raya umum lalu.

 

YB Ust. Dato' Fadzil Noor berkata, mangsa pertama politik balas dendam Barisan Nasional ialah golongan profesional termasuk peguam dan doktor, dan juga akhbar Harakah. Menurut beliau, golongan profesional di Melaka tidak lagi dihormati oleh kerajaan BN apabila kerajaan BN telah bertindak menamatkan panel-panel peguam dan doktor di Melaka yang  terlibat dalam membantu dan menyokong pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.

 

Tambah Ustaz Fadzil lagi, apa gunanya k-ekonomi (knowledge economics) jika kekangan yang berterusan oleh pihak kerajaan BN terhadap hak asasi dan kebebasan rakyat.  Menurut beliau, dalam isu Harakah, akhbar berkenaan bukan sahaja milik PAS, tetapi ia juga milik rakyat, dan seharusnya rakyat diberi kebebasan  untuk bersuara dan mendapatkan maklumat melalui Harakah.

 

"Kalau Harakah penyebar fitnah, ia akan lupus dengan sendirinya.  Kerajaan BN tidak mempunyai hujah untuk berdepan dengan PAS. Mereka ada semua media, tetapi mereka tidak dapat menumpaskan PAS kerana mereka tidak dapat menumpaskan kebenaran" Ustaz Fadzil berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Dialog anjuran Markaz Siswazah Kelantan di Hotel Perdana dua hari lalu.

 

Ketika menjawab soalan daripada peserta, Ustaz Fadzil berkata tiada peruntukan undang-undang yang menjelaskan bahawa akhbar parti mesti diterbitkan dua kali sebulan. Menurut beliau lagi, tindakan kerajaan (KDN) tersebut adalah bercanggah dengan Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan.  Ustaz Fadzil menjelaskan bahawa PAS akan mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas KDN dan akan membawa perkara ini ke mahkamah. Tambah beliau, "KDN tiada hak untuk menghalang kapasiti kita untuk keluarkan akhbar".