AIR: KELANTAN JANGKA UNTUNG RM2 BILLION
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dijangka memperolehi keuntungan sebanyak
RM2 billion menerusi kutipan hasil air dalam tempoh 30 tahun akan datang
memandangkan prestasinya semakin meningkat sejak diurus kerajaan negeri,
bermula Mei lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Kesihatan negeri,
Haji Hassan Abdullah, berkata prestasi kutipan hasil air sekarang mencecah
sehingga RM1.75 juta pada Julai lalu, berbanding hanya RM1.2 juta
sewaktu diswastakan.
Beliau berkata demikian kepada sempena lawatannya ke Loji Pembersihan
Air Kampung Putih, Stesen Pam Penggalak Kampung Perol dan tangki air di
Merbau.
Katanya, penggalian semula sumber air di loji-loji terbabit, seperti
Kampung Putih yang mengalami pertambahan air sebanyak 30 peratus, iaitu
dari 26 juta liter sehari kepada 34 juta liter.
"Adalah dijangkakan sumber air akan menjadi sebahagian eset kerajaan
negeri pada masa depan. Dengan penggalian semula dua telaga di sini sejak
19 Julai lalu, adalah dijangkakan penduduk di negeri ini khususnya di Kota
Bharu tidak ketandusan sumber air biarpun musim kemarau.
"Dengan kesungguhan kakitangan Air Kelantan Sdn Bhd di samping kesedaran
penduduk, sebanyak RM400,000 tunggakan hasil air dari jumlah keseluruhannya
sebanyak RM12,168,705 berjaya dipungut setakat ini," ujarnya.
Mengenai usaha membaikpulih tangki air di Merbau serta penggalian semula
sumber air di Stesen Pam Penggalak Kampung Perol, katanya kerajaan negeri
terpaksa mengeluarkan peruntukkan yang besar untuk tujuan itu.
Satu tangki air di Merbau yang boleh menampung 400,000 gelen air.
Di samping itu, menurutnya projek penggalian semula telaga pam air
di Perol turut dilakukan dari 100 kaki kepada 250 kaki.
Haji Hassan berkata, dengan siapnya dua pam di sini dengan pertambahan
air empat juta liter sehari, masalah kekurangan bekalan air yang sering
berlaku di Kuala Krai, Kok Lanas serta Ketereh dan sebahagian Machang dapat
diatasi.
Katanya, Air Kelantan Sdn Bhd turut mengamalkan sistem penjimatan dalam
pengurusannya.
Harakah Kelantan