Make your own free website on Tripod.com

 

600 lepasan STU pilih 'U' Azhar

KOTA BHARU April 10 (Hrkh) - Universiti Al
Azhar Mesir masih menjadi pilihan utama
pelajar-pelajar lepasan Sijil Tinggi Ugama (STU)
Yayasan Islam Kelantan (Yik) untuk melanjutkan
pelajaran. 

Setakat ini, sebanyak 600 permohonan daripada
pelajar-pelajar berkenaan untuk memasuki
universiti tersebut sudah diterima. 

Penolong Pengarah (Hal Ehwal Murid) Yik, Ustaz
Mohd Daud Omar, berkata permohonan baru itu
diterima daripada pelajar lepasan STU yang belajar
di 52 buah sekolah Yik. 

Katanya, berdasarkan jumlah permohonan itu,
jelas menunjukkan pelajar lepasan STU masih
berminat untuk memohon melanjutkan pengajian
mereka di Universiti Al-Azhar peringkat program
ijazah pertama. 

Menurutnya, masyarakat boleh melihat sendiri
minat pelajar lepasan STU begitu tinggi untuk
meneruskan pengajian mereka di universiti
tersebut. 

"Sekiranya permohonan mereka berjaya,
pengambilan bagi sesi pengajian 2000/2001 akan
dibuat pada bulan September depan," ujarnya.