KU LI DURI DALAM DAGING RAKYAT KELANTAN

ROSLAN SMS

Sedar tak sedar  Ku Li selaku Ketua Perhubungan UMNO Kelantan rupanya ada segmen khas setiap hari semasa Bulletin Utama TV3 jam 8 malam. Diruangan singkat inilah anak raja yang “durhaka” pada rakyat Kelantan ini akan mengambil kesempatan menyucuk duri-duri tajam ke hati sanubari rakyat Kelantan khasnya agar membenci kepimpinan Tok Guru Nik Abd. Aziz dan menolak PAS dalam pilihanraya umum yang akan datang. Beliau terpaksa berhempas-pulas untuk mengejar cita-citanya itu kerana kiranya beliau kecundang maka bererti akan tamatlah terus riwayat politiknya dalam UMNO samasekali.

Semalam di TV3, dalam memutar-belitkan “Manifesto Bersama Barisan Alternatif” khusus dalam Bab 2 ceraian 2.1:

“Menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal pada masa hadapan.”

Ku Li mendesak Tok Guru Nik Abd. Aziz agar meletakkan jawatan sebagai MB Kelantan jika menghormati manifesto ini. Katanya lagi keengganan Tok Guru meletakkan jawatan bermakna sahlah Tok Guru seorang “penipu”!

Implikasi dari kenyataan dangkal dan dungu Ku Li ini bermakna pertama, Ku Li yakin yang PAS akan terus memerintah Kelantan kerana jika Tok Guru disuruh meletakkan jawatan MB selepas tamat penggal keduanya (sebagaimana kata Ku Li) bermakna selepas pilihanraya ke 10 ini PAS terus memerintah Kelantan! Keduanya jika Tuan-tuan meneliti petikan manifesto di atas jelaslah ayat menghadkan tempoh perkhidmatan itu berakhir dengan perkataan “pada masa hadapan”, dalam erti kata lain tempoh perkhidmatan dua penggal ini akan dikuatkuasa bermula selepas pilihanraya ke 10 dan bukan sejak 1990 bilamana Barisan Alternatif pun belum lagi wujud, siapa yang penipu besar disini?!! Dan ketiganya sejak ditabalkan sebagai Ketua Perhubungan UMNO Kelantan yang sering didesak oleh Ku Li adalah agar Tok Guru meletakkan jawatan sebagai MB, ini menunjukkan Ku Li tidak berupaya malah gentar untuk berhadapan dengan Tok Guru dalam pilihanraya umum yang akan datang. Kiranya beliau benar gagah dan wira sebagaimana yang didakwa maka apa perlu desak Tok Guru letak jawatan, tunggu sahaja proses pilihanraya untuk mengalahkannya terus. Ini menunjukkan UMNO Kelantan benar-benar gerun dan kecot untuk berhadapan dengan jentera PAS di bawah kepimpinan Tok Guru!

Rakyat Kelantan tidak harus membenarkan talibarut Mahathir ini terus menurus memperlekeh dan memperkecilkan kepimpinan ulamak yang dipilih oleh rakyat. Rakyat Malaysia di luar Kelantan begitu kagum dan menyegani Tok Guru MB anda, jangan biarkan manusia yang tidak berpendirian, yang rakus dan gila kuasa sebagaimana Ku Li merampas hak kebanggaan anda itu.

Kekalkan Kelantan Di Bawah Kepimpinan Ulamak!!!

Roslan_s@yahoo.com