BERITA MALAYSIA


Febuary 25 , 2000 15:00PM

 

PENDAKWAH PERLU BELAJAR BAHASA MELAYU LEBIH MENDALAM

 

KOTA BAHARU, 25 Feb (Bernama) --Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pendakwah perlu belajar Bahasa Melayu secara mendalam sekiranya mereka mahu dakwah yang disampaikan dapat diterima dengan baik.

Beliau berkata, tugas berdakwah bukan sahaja tertakluk kepada pendakwah golongan cerdik pandai di bandar-bandar tetapi juga meliputi pendakwah di kampung-kampung yang kini hanya dapat menguasai bahasa Melayu secara "ala kadar".

"Mereka yang dapat menguasai bahasa Melayu secara mendalam akan dapat menguasai bahasa bunga-bungaan dan kemanisan yang terdapat dalamnya untuk menarik minat orang ramai untuk terus mengikutinya," katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat, di pejabat PAS di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata, masih terdapat pendakwah yang menyampaikan dakwah dengan menggunakan ayat-ayat terjemahan dalam kitab suci Al Quran yang ditulis oleh ulama 70 hingga 100 tahun dahulu kebanyakan dari Patani, Thailand.

Beliau berkata, perkataan-perkataan yang terdapat dalam kitab-kitab lama seperti "sahibul hikayat", "shahdan" dan "adapun" hanya dapat difahami oleh umat Islam pada zaman itu.

Bagaimanapun generasi sekarang tidak dapat memahaminya oleh itu pendakwah perlu menyesuaikan diri dengan bahasa dan ayat yang dipakai oleh generasi sekarang, katanya.

Menurut Nik Aziz lagi, sekiranya pendakwah enggan berubah dan masih terus menggunakan ayat dan perkataan dalam kitab-kitab lama, dalam tempoh tidak sampai seminggu orang ramai yang mendengarnya akan menjauhkan diri kerana mereka merasa bosan.

Sehubungan itu, Nik Aziz juga menolak anggapan sesetengah pihak bahawa hanya melalui kumpulan tabligh yang bergerak menerusi masjid-masjid sahaja yang layak digelar sebagai pendakwah.

Beliau berkata, pendakwah sebenar bukan sahaja melalui kumpulan tabligh tetapi juga mereka yang menulis buku agama, melalui siaran radio, televisyen dan akhbar sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman bahawa kerajaan pusat akan melaksanakan hukum Hudud apabila berpuas hati dengan jumlah tenaga profesional, Nik Aziz berkata sekiranya diberi peluang Kelantan akan melaksanakan mulai sekarang.

"Kita akan terus bawa perkara itu (yang sudah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan) ke mahkamah syariah untuk dilaksanakan," katanya.

Abdul Hamid dalam kenyataan di Parlimen semalam antara lain berkata, kerajaan tidak mahu melaksanakan dasar secara terburu-buru dan tidak konsisten seperti yang berlaku kepada PAS dalam pakatan pembangkang yang sebelum ini memperjuangkannya tetapi mengetepikan matlamat itu apabila bekerjasama dengan DAP.

"Yang melaksanakannya (hukum Hudud) bukan kerja saya sebagai orang politik, itu kerja hakim," kata Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas.

-- BERNAMA

 


Copyright ©2000 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.