Teks Penuh Kenyataan Mursyidul AM PAS

Rencana bertajuk "PAS sets out to woo non-Malays oleh Wong Chun Wai di dalam The Sunday Star 27 Februari 2000, dirujuk.

Di dalam rencananya, penulis berkenaan telah mengemukakan satu persoalan penting iaitu bersediakah PAS menjadi lebih sekular dan lebih liberal untuk mendapat sokongan "non-Malays".

Tidak timbul soal kesediaan PAS untuk menjadi lebih sekular dan lebih liberal bagi mendapat sokongan dari bukan Islam.  PAS tidak perlupun untuk bersifat liberal dan lebih lagi SEKULAR kerana Islam yang PAS berpegang adalah sarat dengan pelbagai unsur liberalisme dan kebebasan.  Ia sebuah agama yang bebas dari pengabdian sesama manusia.  Ia menghormati kebebasan bercakap, kebebasan berpersatuan hatta kebebasan menganut apa sahaja agama dan mengamalkan apa jua amalan budaya, cara hidup dan bahasa dan dialek asalkan tidak menghina dan bercanggah dengan Al-Quran dan Hadis.  Dalam banyak ayat-ayat Al-Quran, kita boleh buktikan jaminan liberalisme yang ada terkandung dengan tegasnya.  Bagaimanapun Islam tidak menjamin kebebasan tanpa syarat.  Ini semata-mata untuk mengawal manusia dari terjerumus ke lembah kehidupan tanpa agama.  Kebebasan dan liberalisme bentuk ini akan membunuh individu, merosakkan kehidupan bermasyarakat dan mencelarukan sistem nilai dan norma-norma kerukunan hidup.

Aids, dadah, rompak, samun, dera anak, durhakakan kedua ibubapa, rogol, atheis, mulhid, menindas simiskin,  menuduh tanpa bukti, mensabitkan kesalahan melalui perbicaraan yang mencurigakan, amalan rasuah dan kronisma yang terang-terangan adalah di antara musibah yang menimpa kita kesan dari amalan kebebasan tanpa sistem yang sedang berlaku sekarang.

PAS lahir hampir 50 tahun yang lalu untuk mengasaskan kehidupan bermasyarakat dan negara berteraskan satu sistem hidup yang lebih universal yakni Islam.

isu sekularisma adalah isu klasik.  Lahirnya fahaman ini berpunca dari kezaliman 'clergy'eropah dalam abad pertengahan.  Sedangkan kezaliman seperti itu sangat ditentang oleh Islam.  Secara akademik pun, seruan untuk menganjurkan PAS menjadi lebih sekular sudah salah.  Apakah satu sistem yang mengasingkan agama dan negara dalam bekas yang saling tolak menolak boleh dijadikan alternatif terbaik.  Tidakkah kemelut kerencaman sosial yang serba gawat ini berpunca dari sekularisme.

Oleh:

Pejabat Mursyidul AM PAS