Kenyataan YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul AM PAS

Sekatan Terhadap Harakah: UMNO Jerat Diri Sendiri

Kota Bharu, 2 Mac 6.00 pm: Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS, YAB Tuan Guru Dato' Hj. Nik Ab Aziz B. Nik Mat berkata, keputusan terbaru Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghadkan permit penerbitan Harakah seolah-olah menjerat diri sendiri.

Katanya, tindakan itu menyebabkan rakyat tidak lagi menaruh kepercayaan terhadap kerajaan di bawah kepimpinan UMNO.  Menurutnya, tindakan tersebut akan memberi kesan kepada rakyat yang memerlukan bahan bacaan yang melaporkan berita dengan tepat dan benar.

"Setakat ini apa yang didedahkan oleh Harakah merupakan laporan berita yang boleh diterima pakai oleh semua pihak," katanya.

Menurutnya, sekiranya UMNO atau Barisan Nasional yakin mereka dipihak yang benar, parti ituperlu memberi peluang kepada rakyat untuk menilai Harakah.

"Biarlah rakyat sendiri menolak PAS dan Harakah sekiranya laporan yang dibuat tidak berasas. "Namun sekarang jelas bahawa kerajaan yang dipimpin UMNO amat bimbang serta takut kepada Harakah kerana berani mendedahkan segala keburukan dan kesilapan dilakukan UMNO," katanya.

Mengenai kenyataan Dato' Seri Abdullah Badawi bahawa kebenaran dua kali sebulan diberi kepada Harakah bagi menyelaras kelulusan permit bagi penerbitan parti-parti politik, Tuan Guru berkata, tidak pernah UMNO mengeluarkan medianya sendiri sebelum ini.