Make your own free website on Tripod.com
 
 
KENYATAAN YAB TUAN GURU: 
MEDIA BN SENGAJA MEMBUAT TAFSIRAN BURUK DAN NEGATIF

9 November 1999: 08.20 p.m

Jumaat lalu (5 November 1999), YAB Tuan Guru Hj. Nik Ab. Aziz Nik Mat, Mursyidul AM PAS dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa PAS sedia menerima bukan Islam sebagai  Perdana Menteri jika Barisan Alternatif berjaya memerintah Malaysia selepas pilihan raya umum akan datang.  Laporan media cetak Berita Harian, Utusan Malaysia dan media elektronik itu juga menjelaskan bahawa, YAB Tuan Guru dilaporkan berkata bahawa PAS boleh menerima DAP sebagai Perdana Menteri. Laporan buruk media yang mengeluarkan tafsiran masing-masing mengenai isu itu berterusan sehingga hari. TV3 pula membuat ulasan yang lunak dan berniat jahat, semata-mata untuk memenuhi kehendak dan nafsu para pemimpin BN yang rakus yang mahu melihat perpecahan dalam Barisan Alternatif dan parti PAS itu sendiri. 

Laporan muka depan Berita Harian dan Utusan Malaysia cuba mewujudkan keadaan yang boleh menimbulkan keraguan dan seterusnya perpecahan di kalangan penyokong PAS.  Taktik dan strategi ini menampakkan seolah-olah bahawa parlimen berkemungkinan akan dibubarkan pada minggu ini. 

Soalnya sekarang, kenyataan rasmi dari mulut YAB Tuan Guru sendiri tidak dibuat susulan oleh  TV3 dan juga media elektronik yang lain.  Semua ulasan dibuat sebelah pihak (sebelah BN), tanpa dirujuk dari YAB Tuan Guru.  Sebaliknya, media kroni ini cuba membuat ulasan ke atas kenyataan-kenyataan yang dipetik daripada para pemimpin tertinggi PAS termasuk Presiden dan Timbalan Presiden, dengan harapan kenyataan tersebut akan ditafsirkan mengikut nafsu para pemimpin BN, demi mewujudkan suatu percanggahan yang ketara di kalangan para pimpinan PAS. Sekali lagi, harapan dan niat jahat mereka ialah untuk memecahbelahkan perpaduan dalam PAS itu sendiri dan persoalan kerjasama antara PAS dan DAP tidak timbul sama sekali bagi mereka.

Apapun ulasan dan tafsiran yang telah dibuat oleh media-media agen kerajaan BN ini ialah semata-mata cuba melemahkan imej dan reputasi YAB Tuan Guru di mata rakyat Malaysia amnya dan rakyat Kelantan khasnya.  Perkara yang diulas ini, pada hakikatnya sudah disebut oleh YAB Tuan Guru beberapa kali termasuk di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan.  Soal perlantikan pemimpin di kalangan bukan Melayu tidak timbul sekiranya kaum Cina, India dan kaum-kaum lain boleh menerima Islam sebagai asas dan dasar pentadbiran dalam sesebuah negara yang menegakkan Islam. Di Kelantan, bukan Melayu telah diberi peluang menjadi pemimpin melalui portfolio atau jawatan Penghulu Tanpa Mukim dan Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Tempatan. (tindakan ini akhirnya ditiru oleh BN Kelantan baru-baru ini) Malahan, tidak berbangkit sama sekali hal tersebut jika orang Cina dan India ini telah beragama Islam. Islam tidak memandang pada taraf bangsa yang ada pada seseorang individu tersebut.

Pihak media kroni masih lagi meneruskan tafsiran dan ulasan berniat jahat mereka terhadap PAS. Hari ini, masuk hari kelima mereka bertindak demikian.  YAB Tuan Guru belum lagi mengeluarkan satu kenyataan yang bersifat rasmi dari mulut beliau sendiri sebagai Menteri Besar Kelantan ataupun Mursyidul AM PAS.  Maka seronok dan gembiralah pihak media kroni BN yang jahat dan berdusta itu membuat laporan dalam berita-berita mereka setiap hari. Isu ini nampaknya amat berkesan bagi mereka bagi menghancurkan permuafakatan Barisan Alternatif dan juga memecahbelahkan  perpaduan dalam PAS itu sendiri. 

Justeru itu, bagi rakyat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya yang menyokong kebenaran, tanamkanlah sikap dalam diri masing-masing, dan anggaplah bahawa setiap apa yang dilaporkan mengenai Kelantan, PAS dan parti-parti Alternatif yang lain, oleh media tali barut agen BN ini kesemuanya amat-amat sukar dipercayai. Ingat pesanan para pemimpin kita, boleh baca, dengar dan lihat, tetapi, jangan cuba untuk mempercayainya. "Baca Boleh, Percaya Jangan"
 

TADAHAN WAHYU