Make your own free website on Tripod.com

 

Jenazah: Waris Nafi Dakwaan Penghulu Umno 
Oleh Salmah Mat Husin 

JELI, Apr (Hrkh)- Keluarga terdekat seorang
penduduk yang meninggal dunia di Kampung Pendok dekat sini menafikan kelewatan urusan pengebumian disebabkan perbezaan politik. 

Waris berkenaan, Hashim Abdul Rahman, 54 yang menafikan laporan akhbar tempatan baru-baru ini berhubung perkara itu berkata, isu tersebut berkaitan agenda Umno yang mengharap pilihan raya kecil diadakan di Jeli ekoran petisyen pilihan
raya dikemukakan Umno di mahkamah tinggi. 

"Allahyarham meninggal dunia di waktu Maghrib dan kedudukan tanah perkuburan jauh dari rumahnya menyebabkan jenazah berkenaan lambat dikebumikan," katanya. 

Hashim berkata, Allahyarham sepupunya meninggal dunia waktu Maghrib hari Rabu, 12 April lalu dan bukannya jam 5 petang seperti yang didakwa oleh Penyelia Pembangunan Mukim (PPM - Penghulu Umno) Kampung Lawar, Termizi Ismail. 

Sebuah akhbar harian Khamis lalu melaporkan perbezaan fahaman politik menyebabkan jenazah seorang penduduk di Kampung Pendok, lambat dikebumikan selepas 18 jam meninggal dunia. 

PPM Kampung Lawar, Termizi dipetik sebagai mendakwa, waris dan beberapa jiran kepada Allahyarham yang menyokong sebuah parti, tidak membenarkan jenazah disembahyangkan imam mukim kampung kerana menyokong parti lain.