Harakah:

JKR kendali projek bernilai RM547.5 juta

KOTA BHARU: Jabatan Kerjaraya (JKR) Kelantan sehingga kini mengendalikan sebanyak 346 projek membabitkan pembinaan bangunan termasuk di peringkat perancangan dan tender yang melibatkan kos kira-kira RM547.5 juta. Projek pembinaan bangunan kerajaan persekutuan berkenaan adalah sambungan dari Rancangan Malaysia Keenam dan Rancangan Malaysia Ketujuh. 

Pemangku Pengarahnya, Ir Boh Min Hai berkata, 125 daripada projek berkenaan di peringkat pembinaan, 158 sudah siap dibina dan 63 di peringkat perancangan atau tender. "Sehingga kini lebih kurang RM368.038 juta atau 67.2 peratus sudah dibelanjakan," katanya pada majlis taklimat sempena lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Kemudahan Awam, Kebudayaan dan Pelancongan, Ustaz Abdullah Ya'kob ke JKR, Isnin lalu. Hadir sama di majlis itu, timbalan pengerusi porfolio berkenaan, Ustaz Hassan Mahmud dan pegawai kanan JKR ibu pejabat dan jajahan.

Taburan projek berkenaan iaitu di Jeli sebanyak 16, Tanah Merah (48 projek), Pasir Puteh (25), Tumpat (32), Pasir Mas (47), Kuala Krai (31), Machang (25), Gua Musang (23), Bachok (23) dan Kota Bharu (74).
Ir Boh Min juga berkata, projek di bawah Kementerian Kesihatan yang dikendalikan JKR Kelantan sehingga kini sebanyak 58 projek termasuk satu di peringkat tender yang membabitkan keseluruhan kosnya sebanyak R142.4 juta. Katanya, 43 projek daripada jumlah projek berkenaan kini sudah disiapkan pembinaannya. 

Antara projek berkenaan iaitu pembinaan sebuah hospital baru, pelan induk pembangunan hospital (tiga), kemudahan kesihatan luar bandar (53) dan kemudahan kesihatan bandar (sebuah).
Selain itu, JKR juga mengawasi 23 projek bangunan am persekutuan yang melibatkan kos RM28.6 juta. Sembilan daripada projek berkenaan kini sudah disiapkan pembinaannya.

 Manakala projek di bawah Kementerian Pendidikan yang diterima JKR setakat ini sebanyak 228 projek, membabitkan kos RM277.06 juta.
Projek berkenaan termasuk pembinaan sekolah rendah sebanyak 48 buah, sekolah menengah (57), sekolah menengah berasrama penuh (empat), teknik dan vokasional (lima), rumah guru (71), asrama (15), teknik tinggi (dua) dan sekolah bestari (enam).

Sementara itu, Ustaz Abdullah berharap JKR mengetengahkan peranan yang dimainkan bagi membolehkan rakyat mengetahui fungsi sebenar jabatan berkenaan. Katanya, sebelum ini orang ramai hanya mengetahui peranan JKR hanya mengendalikan pembinaan jalan raya sahaja.
"Saya berharap JKR terus memainkan peranan besar bagi mempertingkatkan kemudahan infrastruktur di Kelantan," katanya.
Menurutnya, pegawai dan kakitangan JKR hendaklah membuktikan kesungguhan jabatan itu membangunkan Kelantan.