TENGKU RAZALEIGH PERALAT INSTITUSI ISTANA

22 Julai 1999: Kota Bharu.

Tengku Razaleigh Hamzah telah menggunakan sepenuhnya kedudukan beliau sebagai "bapa saudara"  kepada Raja Perempuan Kelantan (Tengku Anis Tg. Ab. Hamid) untuk memperalat dan mempolitikkan institusi Istana Kelantan bagi kepentingan politik UMNO Kelantan.  Pada hari ini, hari lawatan politik Mahathir ke Kelantan, Ku Li dengan sendirinya telah melanggar dan mencabul pengakuannya setelah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, bahawa beliau tidak akan menggunakan pengaruh istana untuk tujuan politik UMNO Kelantan khususnya untuk menang dalam pilihan raya.

Pertama, Ku Li telah membawa Ketuanya, Dato' Seri Dr. Mahathir untuk mengadap KDYMM Al-Sultan Kelantan di Istana Mahkota, Kubang Kerian, setibanya Mahathir di Kelantan tengahari tadi. Motif Ku Li ialah untuk menonjolkan wujudnya keharmonian antara Sultan Kelantan dengan PM, serta penerimaan dan pengiktirafan Sultan ke atas Perdana Menteri dengan  harapan Ku Li agar rakyat Kelantan menerima kepimpinan Mahathir.  Simboliknya, bagi Ku Li, pengaruh KDYMM Al-Sultan Kelantan dapat digunakan untuk memaut hati rakyat Kelantan yang bagi beliau begitu menghormati Raja.

Kedua; Ku Li telah menyediakan kediaman khas kepada Mahathir dan beberapa orang pemimpin UMNO di Istana Kelantan, iaitu Istana Kota Lama, Kg. Sireh, Kota Bharu. Kelihatan kenderaan Kerajaan Negeri Kelantan yang sememangnya diperuntukkan untuk kegunaan pihak Istana keluar masuk dari Istana Kota Lama dan kemungkinan besar dipergunakan oleh Ku Li untuk kepentingan politik UMNO/BN. Perlu diperjelaskan bahawa, lawatan Mahathir ke Kelantan bukan lawatan kerja sebagai Ketua Pentadbiran Kerajaan, tetapi ianya merupakan lawatan kerja atas nama politik pilihanraya.  Susunan program lawatan adalah melibatkan program atas nama parti BN.  Mahathir telah diberi kedudukan yang setaraf dengan Yang Dipertuan Agung dan juga Sultan Brunei apabila mendapat keistimewaan untuk menginap di Istana Kelantan. Ini tidak berlaku sebelum ini, iaitu semasa lawatan beliau ke negeri ini ketika beliau sendiri memegang jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan. Rakyat Kelantan sedia maklum bahawa sewaktu lawatan YDP Agong sebelum ini (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan) dan Sultan Brunei melawat Kelantan, baginda ditempatkan di Istana Kota Lama. Lawatan Baginda adalah lawatan rasmi sebagai YDP Agong dan juga lawatan DiRaja.  Sebaliknya, lawatan Mahathir adalah lawatan pilihan raya. Barangkali Ku Li sudah mengiktiraf Mahathir sebagai seorang Raja yang baru di Malaysia.

Jelas, Tengku Razaleigh memperalatkan Institusi Istana untuk kepentingan politik beliau.  Malah, pada tahun 1987, beliaulah yang telah menggunakan Istana untuk tujuan politik peribadi sewaktu menentang Mahathir ketika itu.

wassalam