Make your own free website on Tripod.com

 

Harakah Terus Bernadi Di Sebalik Usaha Mengharamkannya

Lebih setahun yang lalu, semasa peristiwa pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Harakah sebagai lidah rasmi PAS telah berjaya memainkan peranannya sebagai sebuah akhbar politik yang amat berkesan dan cemerlang.  Harakah berjaya menarik minat rakyat dan mampu berfungsi sebagai satu saluran media maklumat alternatif kepada akhbar harian yang lain dalam menyiarkan laporan mengenai isu tersebut.  Peningkatan jualan Harakah yang begitu mendadak adalah diluar dugaan. Jualannya mencapai tahap yang begitu tinggi sehingga mencecah kepada 350,000 naskah, prestasi yang amat baik bagi sebuah akhbar parti yang hanya diterbitkan dua kali dalam seminggu, mengatasi jualan akhbar harian lain yang pada ketika yang sama akhbar harian tersebut seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan NST mengalami prestasi jualan yang merosot.  Maklumat yang dilaporkan oleh Harakah amat tidak disenangi oleh pihak kerajaan, khususnya pimpinan UMNO.  Sejak kes Anwar menyelubungi senario politik Malaysia, kerajaan UMNO pimpinan Mahatihir merasai kekuatan yang ada pada mereka selama ini telah mulai dibayangi oleh lonjakan kekuatan pengaruh barisan Alternatif yang semakin meningkat.  Ada petanda, yang menunjukkan benteng-benteng dan kubu UMNO yang dibina sebelum ini mula menampakkan sedikit serpihan dan keretakan.  UMNO sekali lagi mengalami detik malap mereka apabila tertubuhnya Parti Keadilan Nasional. 13 tahun yang lalu, 1987, perpecahan UMNO membawa kepada pengharaman parti tersebut, yang seterusnya membawa kepada wujudnya Parti Melayu Semangat 46. Asakan yang kuat dari isu Anwar, mula mencetuskan kebimbangan dalam benak dan fikiran para pemimpin UMNO.

          Politik UMNO yang sedang bergolak, memberi ruang yang cukup luas kepada PAS. Ruang tersebut telah membantu Harakah sebagai lidah rasmi parti PAS dalam mengambil alih peranan media lain yang sememangnya pro UMNO atau kerajaan.  Harakah telah menjadi sumber maklumat alternatif kepada rakyat dalam mendapatkan berita yang tepat dan sebenar.  Dalam tempoh setahun isu pemecatan DSAI, Harakah dianggap satu-satunya akhbar yang memberi liputan yang adil kepada rakyat.  Pendedahan Harakah yang berterusan ke atas penyelewengan yang telah dilakukan oleh kerajaan BN telah mencelikkan hati rakyat.  Semenjak kes Anwar, bukan sahaja jualan Harakah begitu laris,  tetapi sambutan masyarakat terhadap PAS juga diluar dugaan. Permohonan daripada masyarakat untuk menjadi ahli PAS meningkat dengan begitu mendadak.

  Senario yang berubah angin tersebut telah meniupkan rasa cemas di kalangan pemimpin UMNO dan  Barisan Nasional. Harakah dicop sebagai penabur fitnah dan menyiarkan berita putar belit dan memburuk-burukkan kerajaan.  Juak-juak UMNO lalu bersuara, apa lagi yang mesti ditunggu oleh pihak kerajaan, Harakah mesti diharamkan kerana ia dianggap fitnah dan punca pecah belah masyarakat.   Ketua wanita UMNO menuduh Harakah sebagai punca perpecahan dalam perpaduan masyarakat. Berita-berita yang dilaporkan Harakah amat tidak menyenangkan pihak-pihak tertentu yang menguasai KDN.  Pengarah Urusan Harakah dipanggil untuk memberi penjelasan dan amaran telah diberikan kepada pihak pengurusan Harakah supaya mematuhi arahan KDN agar Harakah dijual kepada ahli PAS sahaja.  Pengurusan Harakah akur dengan semua arahan KDN tersebut.  Namun begitu, nasib Harakah terus baik, walaupun dalam saat dan ketika pengurusannya ditekan dan diasak hebat oleh pihak kerajaan, ia masih lagi dapat dikeluarkan dan jualannya terus meningkat.

          Dalam tempoh setahun, isu Anwar terus mengisi ruangan  Harakah.  Keprihatinan rakyat terhadap penyalahgunaan kuasa kerajaan BN dan kekejaman yang telah dilakukan ke atas DSAI banyak membantu Harakah.  Sebagai organ rasmi bagi sebuah parti yang berjuang mewujudkan keadilan dan menentang kezaliman, PAS hanya ada satu saluran media rasmi yang boleh menyampaikan maklumat dan meluahkan perasaan rakyat terhadap kerajaan BN.  Peranan yang dimainkan oleh Harakah begitu berkesan menjelang dan semasa pilihan raya umum November 1999.  Harakah menjadi media kempen yang begitu pro-aktif kepada PAS semasa pilihan raya.  Ia ternyata telah diakui oleh pihak UMNO dan Barisan Nasional.  Post mortem awal mereka, telah membuat kesimpulan bahawa salah satu punca kekalahan teruk BN di Kelantan dan Terengganu serta kecundang beberapa  kawasan di negeri-negeri seperti Kedah, Pahang, Selangor, Perak dan Perlis ialah kerana peranan Harakah yang begitu aktif membantu PAS dalam menyiarkan berita yang memburuk-burukkan pemimpin BN dan kerajaan.  Menurut mereka lagi, berita yang disiarkan Harakah tidak dapat ditangkis oleh BN kerana pihak BN tidak mempunyai medianya yang tersendiri.  Betapa besar dan baruanya mereka menipu rakyat.  Sedangkan mereka, pada hakikatnya menguasai semua saluran TV dan akhbar cetak yang telah digunakan sepenuhnya untuk menghentam dan memfitnah barisan Alternatif semasa pilihan raya.

Kesimpulan awal BN terhadap kekalahan dan hilangnya pengaruh sokongan Melayu terhadap mereka nampaknya telah membawa akibat buruk kepada Harakah.  Dalam kesibukan rakyat menunaikan ibadat puasa, pihak KDN telah menjalankan tindakan drastik mereka dengan melancarkan operasi besar-besaran merampas akhbar Harakah di Kuala Lumpur dan diseluruh negara. KDN mengeluarkan arahan agar Harakah hanya boleh dijual di markaz dan pejabat parti sahaja.   Rezeki peniaga akhbar nampaknya mula berkurang.  Harakah, akhbar paling laris diharamkan dijual secara terbuka. Kerajaan melihat kesan besar yang ditunjukkan oleh penjualan bebas Harakah.  Keburukan dan kezaliman kerajaan BN mula terbongkar sejak Harakah menjadi minat dan pilihan masyarakat.  Tindakan rampasan ke atas Harakah berterusan sehingga selepas Hari Raya.   Para penjual akhbar diberi amaran oleh KDN supaya tidak lagi menjual Harakah.

Dalam saat dan ketika Harakah diperlakukan sedemikian rupa, ditambah dengan desakan kuat  UMNO dan kerajaan BN agar akhbar itu diharamkan, para pemimpin NGO dan pembangkang yang lain membantah tuntutan pengharaman tersebut.  Ketika rakyat ditanya tentang kewajaran pengharaman Harakah, rakyat bersuara menegaskan bahawa mereka sudah cerdik menilai baik buruk dari suasana politik yang berlaku. Rakyat mampu dengan tegas membuat penilaian tentang sesuatu berita yang dilaporkan oleh Harakah, mahupun akhbar harian lain yang pro kerajaan. Hatta sekalipun Harakah diharamkan oleh kerajaan, rakyat dan masyarakat masih tetap boleh menerima berita yang sebenar melalui Internet.  Rakyat bukanlah buta hati dan mudah ditipu. Reaksi  yang begitu meyakinkan itu, menguatkan lagi semangat rakyat untuk terus mempertahankan Harakah.

Harakah kian teruji selepas Hari Raya. Perancangan Mahathir sama seperti semasa beliau meninggalkan Malaysia untuk ke Bejing yang membawa tercetusnya peristiwa Memali.  Senario sama berlaku, semasa beliau ke luar negara tahun ini, beliau seolah-olah sudah mewasiatkan kepada Timbalannya untuk bertindak ke atas pihak pembangkang.  Tiga orang pemimpin pembangkang ditahan, dua orang di bawah Akta Hasutan dan seorang dibawah OSA. Dalam masa yang sama  Harakah telah menjadi sasarannya.  Abdullah Badawi yang bertindak atas kuasa Menteri Dalam Negeri menggunakan kuasanya bagi mengarahkan pihak polis menahan Pengarang Harakah dan pencetaknya di bawah Akta Hasutan kerana menerbit dan mencetak artikel yang kononya menghasut rakyat supaya membenci kerajaan.   Artikel tersebut adalah ulasan Dr. Chandra ke atas institusi polis dan kehakiman. 

Tindakan kerajaan menahan pemimpin pembangkang dan juga pengarang Harakah dikritik hebat oleh semua pihak. Mereka melahirkan rasa bimbang kerana berlakunya pencabulan ke atas hak asasi dan kebebasan berakhbar di negara ini.  Penahanan dan pendakwaan ke atas pengarang Harakah membawa natijah yang buruk ke atas Harakah dan PAS. Menurut YB Dato’ Presiden PAS, peruntukan Akta tersebut menjelaskan bahawa sesebuah akhbar boleh digantung permitnya jika pengarangnya didapati bersalah oleh mahkamah.  Nampaknya nasib Harakah seperti “telur dihujung tanduk”.    Harakah mengalami detik-detik yang berkemungkinan ia diharamkan.  Beberapa majalah seperti Detik, Wasilah, Tamadun turut menerima nasib yang sama.  Mengulas lanjut, tindakan tersebut, Dato’ Presiden berkata, pihak kerajaan akan cuba melindungi diri mereka daripada kecaman rakyat jika Harakah diharamkan.  Ini kerana, kerajaan akan mengatakan bahawa mahkamah yang mengharamkan Harakah, bukannya kerajaan. Walaupun pada hakikatnya kerajaanlah yang mengawal institusi tersebut.

Siri-siri pencabulan yang berterusan ke atas Harakah sedikit sebanyak menjejaskan prestasi jualannya.  Sejak KDN menguatkuasakan peraturan supaya Harakah dijual di markaz dan pejabat parti, jualannya hanya berada di sekitar 150,000 ke 200,000 naskah.  Namun begitu, di sebalik sekatan KDN, rakyat tetap berusaha untuk mendapatkan Harakah.  Kesan positif tindakan KDN tersebut ialah rakyat semakin berani mendekati PAS.  Pegawai kerajaan tidak lagi menyembunyikan diri untuk mendapatkan Harakah apabila mereka datang terus ke markaz atau pejabat PAS untuk membeli Harakah.  Jurang antara masyarakat dengan PAS semakin bertambah rapat dan ini membawa faedah besar kepada PAS.

Kerajaan BN pada hakikatnya tidak boleh menafikan tindakan mereka ke atas Harakah.  Rakyat sudah kritis dan bijak dalam menilai setiap tindakan yang diambil.  Tindakan yang berterusan terhadap pembangkang dan Harakah khasnya merupakan suatu pencabulan yang nyata oleh pihak kerajaan BN ke atas kebebasan akhbar di negara ini.  Sesiapa saja termasuk akhbar yang tidak condong ke arah kerajaan akan diambil tindakan.  Bagi kerajaan, setiap rakyat dan akhbar di negara ini mesti menjadi pengampu mereka. Apalah erti kebebasan akhbar dan kewartawanan jika setiap wartawan dan pengarang akhbar boleh diperlakukan semacam robot yang sentiasa dikawal setiap masa.  Mereka ini bukan bertuankan kerajaan Barisan Nasional yang terbukti korup dan zalim.  

Harakah yang tamat permitnya pada 28 Februari lalu menerima berita yang amat malang.  Denyut nadinya mula dimatikan pada 3 Mac 2000 apabila ia tidak dapat diterbitkan. Setelah tiada jawapan kepada pembaharuan permit Harakah yang mengakibatkan keluaran Edisi Jumaat 3 Mac tidak dapat dikeluarkan, Harakah menerima berita buruk dari Menteri Dalam Negeri apabila KDN meluluskan permit kepada Harakah hanya dengan syarat ia diterbitkan 2 kali sebulan, berbanding 8 kali sebulan sebelum ini.  Jika dilihat kepada purata keluaran naskah harakah sebanyak 200,000 sekali keluaran, ini bermakna pengeluarannya dipaksa berkurang sebanyak 1,200,000 naskah dalam sebulan.  Kesannya yang ketara akan dirasai oleh setiap pembaca Harakah apabila berita dan maklumat harian dan mingguan tidak lagi diperolehi.  Walaupun Harakah Edisi Internet terus berjalan, namun tidak semua rakyat yang mempunyai kemampuan untuk memiliki komputer dan “internet access”.  Tindakan KDN ini merupakan suatu bentuk sekatan baru penyaluran maklumat kepada rakyat, setelah rakyat tidak lagi mempercayai maklumat dari TV dan akhbar pro kerajaan.

Pengarah Urusan Harakah dalam kenyataanya berkata, pihak pengurusan akan mengemukakan rayuan selepas menerima surat rasmi mengenai  kelulusan permit dari KDN.  Apapun jawapan yang bakal diterima dari KDN mengenai rayuan itu nanti, kita amat kesal dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri yang amat tidak munasabah.  Menurut Pak Lah, permit  keluaran 2 kali sebulan kepada Harakah diberi berdasarkan pertimbangan bahawa ia akhbar keperluan parti dan bukan akhbar biasa untuk orang awam. Kita tidak dapat menerima jawapan Pak Lah kerana jawapan tersebut amat tidak relevan kerana berdasarkan jumlah ahli PAS yang terkini dan senario semasa, rakyat dahagakan maklumat dan berita yang adil lagi saksama, yang pada dasarnya keluaran naskah Harakah sepatutnya ditambah berdasarkan bilangan ahlinya.  Dalam masa yang sama Pak Lah mengaitkan Harakah dengan keluaran majalah UMNO.  Mengapa perlu Pak Lah ingin menyamakan keluaran majalah UMNO dua kali sebulan dengan akhbar Harakah.  Itu soal UMNO yang tidak perlu dikaitkan dengan Harakah.  Kalau Pak Lah mahu, ia boleh memberi izin kepada UMNO untuk keluarkan majalah harian.  Tetapi UMNO sebenarnya yang tidak mampu untuk menerbitkan majalah ataupun akhbar hariannya yang tersendiri.  Sebab itu UMNO menggunakan kuasa untuk meletakkan pengaruhnya di dalam setiap akhbar harian dengan menggunakan ketua pengarang dan wartawan tertentu dalam akhbar-akhbar harian untuk tujuan politik UMNO.

Walaupun kita menerima berita malang apabila nadi denyutan Harakah cuba dimatikan secara beransur-ansur,  kita tetap bersyukur kerana Harakah masih terselamat dalam cubaan membunuhnya hasil dari aspirasi dan usaha rakyat yang sentiasa berdoa agar Allah menyelamatkan Harakah.  Bukan sahaja Harakah perlu diselamatkan, tetapi mereka yang terus mendokong dan memulihkan nadi Harakah untuk ia terus berdenyut walaupun hanya untuk dua edisi sebulan.  Semoga denyutan nadi Harakah dalam suasana episod baru ini akan lebih cemerlang dan mampu menyengat dan terus menghilangkan bisa UMNO dan Barisan Nasional.