PAS Tidak Akan Jadi Lebih Sekular Atau Lebih Liberal

   PAS tidak akan menjadi lebih sekular dan lebih liberal semata-mata untuk mendapatkan sokongan daripada bukan Islam/bukan Melayu. YAB Tuan Guru Hj. Nik Ab. Aziz Nik Mat, Mursyidul AM PAS berkata, tidak timbul soal kesediaan PAS untuk menjadi lebih sekular dan lebih liberal bagi mendapat sokongan dari bukan Islam. " PAS tidak perlupun untuk bersifat liberal dan lebih lagi Sekular kerana Islam yang PAS berpegang adalah sarat dengan pelbagai unsur liberalisme dan kebebasan".

   YAB Tuan Guru berkata demikian sebagai mengulas sebuah rencana bertajuk "PAS sets out to woo non-Malays" dalam The Sunday Star" 27 Februari 2000.

   Menurut YAB Tuan Guru, Islam menghormati kebebasan bercakap, kebebasan berpersatuan hatta kebebasan menganut apa sahaja agama dan mengamalkan apa jua amalan budaya, cara hidup dan bahasa asalkan tidak menghina dan bercanggah dengan Al-Quran dan Hadis. PAS telah lahir sejak 50 tahun yang lalu untuk mengasaskan kehidupan bermasyarakat dan negara berteraskan satu sistem hidup yang lebih universal yakni Islam.

   YAB Tuan Guru mempersoalkan sistem yang diamalkan oleh kerajaan sekarang yang boleh menimbulkan pelbagai masalah kerencaman sosial yang berpunca dari  sekularisma. Kata beliau, "apakah sistem yang mengasingkan agama dan negara dalam dua bekas yang saling tolak menolak boleh dijadikan alternatif terbaik".

Teks Penuh Kenyataan Dari Pejabat Mursyidul AM PAS