Kerugian PKINK: Akhbar ada agenda

KOTA BHARU, 25 Feb (Hrkh) - Kerajaan Kelantan menganggap akhbar yang menyiarkan kenyataan mengenai Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mengalami kerugian terkumpul pada tahun 1997 sebagai mempunyai agenda tertentu.

Timbalan Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman berkata, sepatutnya media yang menyiarkan laporan Ketua Audit mengenai perkara itu sepatutnya turut memaparkan keadaan yang serupa dialami Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) di negeri-negeri lain.

Menurutnya, akhbar berkenaan memilih laporan audit mengenai Kelantan kemungkinan disebabkan negeri ini dikuasai pembangkang dan disifatnya sebagai tidak adil.

Katanya, mengikut laporan audit hanya lima PKEN yang mengalami keuntungan pada masa itu, disebabkan kegawatan ekonomi.

"Saya tidak terkilan dengan laporan audit kerana hanya lima daripada seluruh PKEN di negara ini yang mencatat keuntungan dalam tempoh tersebut," katanya selepas mesyuarat Exco, Rabu lalu. Selasa lalu, sebuah akhbar harian menyiarkan PKINK mencatat kerugian terkumpul RM21.26 juta pada 1997 apabila lapan daripada 18 anak syarikat mengalami kerugian besar kerana membuat pelaburan tidak menguntungkan.

Mengikut laporan itu, yang dipetik dari sumber Audit Negara, PKINK mencatat kerugian buku RM10.289 juta dalam pelaburan sahamnya, apabila baki 2.227 juta saham yang dibeli pada kos RM12.443 juta hanya bernilai RM2.154 juta pada 31 Disember 1997.

Timbalan Menteri Besar berkata, kegawatan ekonomi yang berlaku ketika itu tidak dapat ditolak menyebabkan kejatuhan harga saham.

Bagaimanapun tambahnya, keputusan lembaga PKINK untuk membeli saham itu dibuat oleh seluruh anggota pengarahnya termasuk yang diwakili pegawai dari Jabatan Akauntan Negara, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia.

Menurutnya juga, berdasar kepada perkembangan positif ekonomi negara sekarang adalah diharap saham-saham milik PKINK juga akan mencatat peningkatan.

"Kerugian anak-anak syarikat PKINK pada tahun tersebut kerana pembabitan dalam pelaburan sebelum kegawatan ekonomi.

"Masalah yang kita alami ialah kesan kegawatan ekonomi yang berlaku selepas itu," katanya.

Abdul Halim juga berkata, kerajaan negeri belum bercadang untuk menutup anak-anak syarikat yang mengalami kerugian dan akan meneliti laporan PKINK mengenainya.