Petisyen: Pemuda mahu mahkamah tidak berpihak

 

KOTA BHARU, 18 Feb (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS negeri berharap mahkamah tinggi di sini yang akan membicarakan kes petisyen pilihan raya yang dikemukakan beberapa bahagian Umno di negeri ini menimbangkan keputusan secara adil dan tidak berpihak.

Ketuanya, Haji Takiyuddin Hassan berkata, keputusan secara adil dan tidak berpihak penting kerana sebelum ini rakyat dengan jelas sudah memberi mandat kepada parti yang dipilih pada pilihan raya umum lalu.

"Kita hendaklah menerima segala keputusan dan mandat yang diberi rakyat pada pilihan raya umum ke-10, 29 November lalu dengan hati terbuka," katanya di sini.

Baru-baru ini, Umno di beberapa bahagian dan peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) mengemukakan petisyen di mahkamah tinggi kononnya berlaku rasuah oleh wakil calon PAS pada pilihan raya umum lalu.

Petisyen yang dikemukakan sehingga kini iaitu membabitkan Parlimen Pasir Mas, Peringat dan Jeli, Dun Tendong, Dun Ketereh, Pergau, Air Lanas dan Kemahang oleh pemimpin-pemimpin Umno.

Takiyuddin yang juga bekas peguam berkata, PAS sedia menerima dengan hati terbuka segala keputusan yang bakal dibuat oleh mahkamah pada perbicaraan kes tersebut nanti.

"PAS telah memasukkan memorandum kehadiran di mahkamah tinggi pada 15 Febuari lalu melalui peguam Haji Zamani Ibrahim," katanya yang juga anggota Exco kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS sudah bersedia untuk mengerakkan jentera parti terutamanya Dewan Pemuda sekiranya berlaku pilihan raya kecil selepas ini di kawasan terbabit.