BERITA MALAYSIA


October 26 , 1999 15:56PM

 

TIDAK FAHAM PUNCA PELAKSANAAN HUDUD DITENTANG, KATA NIK AZIZ

 

KOTA BAHARU, 26 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hukum Hudud yang dicadangkan kerajaan PAS menerima banyak halangan kerana ramai yang tidak faham mengenai pelaksanaannya termasuk kerajaan pusat.

Katanya hukum Hudud yang dicadangkan oleh kerajaan negeri bukanlah Hudud PAS tetapi hukum Hudud Islam.

"Melaksanakan hukum Hudud ini, bukan saya tetapi kita serah kepada Mahkamah Syariah... bukan saya yang hendak pergi potong tangan atau sebagainya, mahkamah akan putuskan," katanya ketika menjawab soalan Zulkifli Mamat (PAS-Pulai Chondong) di Dewan Undangan Negeri di sini.

Zulkifli meminta penjelasan kerajaan negeri mengenai halangan-halangan yang dihadapi dalam melaksanakan dasar membangun bersama Islam kerajaan PAS.

Nik Aziz berkata kerajaan negeri pimpinan PAS telah berjaya menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran jabatan dan agensi kerajaan negeri melalui pelbagai pendekatan termasuk ketakwaan kepada Allah, bertanggungjawab dan menghasilkan kerja yang berkualiti.

--BERNAMA

 


Copyright ©1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.