Berita Ekonomi
Adi Putra

Rakyat boleh milik kebun di Ladang Rakyat

KOTA BHARU: Projek Ladang Rakyat yang diusahakan oleh Darulnaim Agro Management Industries (Damai) Sdn Bhd sebuah anak syarikat milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan sejak enam tahun lalu, kini sudah menampakkan hasilnya. 

Ladang itu diwujudkan daripada hutan yang tidak memberi manfaat, kini kelihatan subur dengan tanaman buah-buahan yang menghijau di Jeli, berhampiran lebuh raya Jeli - Gerik.  Pada tahun 1994 Damai memajukan tanah seluas 518 ekar yang telah ditanam dengan durian, dokong, rambutan dan petai kemudian dijadikan lot-lot untuk dijual kepada orang ramai.Setiap lot seluas dua ekar dijual dengan harga RM16,000 hingga RM23,000. 

Pengurus Damai, Mohd Naim Mamat berkata, pihaknya juga turut membangunkan 'Ladang Contoh' di Jeli di kawasan seluas 50 ekar dengan tanaman durian dan dokong.

"Memandangkan sambutan menggalakkan daripada orang ramai Damai membangunkan beberapa projek lain di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang yang dikenali sebagai Ladang Rakyat Lojing Fasa I," katanya.
Ladang Rakyat yang diusahakan itu seluas 114 ekar ditanam dengan limau madu jenis cantuman baka dari Australia. 

Selain itu, Damai turut mengusahakan tanaman sayur di kawasan seluas 50 ekar yang terdiri daripada terong, kubis, tomato, sayur-sayuran dan tomato. Ladang rakyat itu dijual kepada orang ramai dengan harga antara RM28,000 dan RM35,000.

Pelaksanaan projek tersebut dijangka lebih lancar apabila siap pembinaan lebuh raya Timur - Barat kedua yang bermula di simpang Pulai Perak melalui Pos Slim, Kampung Raja dan terus ke Gua Musang.
Bermula Januari lalu, Syarikat Damai membangunkan satu lagi projek Ladang Rakyat di Mukim Relai bersempadan jajahan Kuala Krai - Gua Musang seluas kira-kira 1,500 ekar.

Damai memulakan pembangunan fasa 1 di kawasan seluas 450 ekar ditanam dengan pokok buah-buahan termasuk durian dan dokong. Penanamannya dijangka siap sepenuhnya sebelum Ogos depan. 
Penjualan lot seluas dua ekar setiap akan dibuka Kktober 2000.

Bagi fasa dua dan tiga akan bermula menjelang akhir tahun 2000 yang akan ditanam dengan durian kunyit jenis D197 merupakan sejenis durian yang popular di kalangan peminat durian tempatan.
Setiap satu lot akan dijual dengan harga RM37,000 hingga RM42,000 seluas dua ekar. 

Damai juga mengeluarkan tender bagi kerja-kerja pembangunan ladang bagi projek fasa kedua seluas 130 ekar yang akan ditanam dengan tanaman buah-buahan jenis iklim sederhana, memandangkan kedudukan berhampiran dengan Cameron Highland.
Damai juga mengorak langkah dengan membina tapak semaian di tapak seluas 10 ekar di mukim Pasir Mas.Di antara anak-anak benih yang ada di tapak semaian tersebut termasuk durian, bunga-bungaan dan dokong.

Orang ramai yang berminat untuk mendapat anak benih tersebut boleh menghubungi Pejabat Damai di talian 09-7462805 (Zulkifli Mat Kasim).