PERASMIAN PENUTUP KONVENSYEN DEWAN PEMUDA PAS KELANTAN

Pemuda Diseru Bawa Imej Ulamak

 

KOTA BHARU: Golongan Pemuda termasuk pemimpinnya diseru melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu di samping membawa imej ulamak bermula dari sekarang dalam usaha memberi keyakinan pada masyarakat sekiranya mereka diberi peluang memimpin negeri dan negara pada masa depan.

 

Menteri Besar kelantan, YAB Tuan Guru Dato' Hj. Nik Ab Aziz Nik Mat berkata, golongan pemuda hendaklah mencari pelbagai ilmu bermula dari sekarang di samping membawa imej ulamak terutama menjaga solat, agar rakyat tidak kecewa pada masa depan setelah mereka diberi tanggungjawab itu.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Konvensyen sehari  Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, yang bertemakan Ke Arah Pemantapan Perlaksanaan Islam di Kelantan, di Perdana Resort, PCB, 10 Mac lalu.  Majlis  tersebut telah dirasmikan oleh Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, yang juga Setiausaha Politik Ketua Pembangkang, Dr Mohd Hatta Ramli.  Turut memberi ucapan ialah Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Kelantan, YB Takiyuddin Hassan.

 

Konvensyen tersebut dihadiri oleh seluruh pemuda dari semua Dewan Pemuda Kawasan.  Turut hadir ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Hj Anual Bakri, Setiausaha Akhbar  MB, Ustaz Mohd Fauzi Zakaria, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan.

 

YAB Tuan Guru juga menjelaskan bahawa, negara dan masyarakat seluruhnya akan terus dilanda kerosakan sekiranya bakal pemimpin hari ini tidak mengamalkan sifat-sifat sedemikian atau lebih tepat ianya tidak ubah sebagaimana amalan parti lawan.

 

"Parti lawan, pemudanya tidak diajar atau diperingatkan dengan sifat-sifat sedemikian, sebaliknya memuja nafsu, sebab itu perkara negatif berlaku di kalangan mereka," ujarnya.

 

Sementara itu, ketika memberitahu pemberita selepas majlis penutup, YAB Tuan Guru melahirkan rasa puas hati terhadap keterampilan Dewan Pemuda PAS Kelantan hari ini.

Tegasnya, dari pengamatan beliau sekarang, Kelantan tidak ketandusan pemimpin pada masa akan datang, berdasarkan kewibawaan mereka, apalagi kebanyakannya terdiri dari golongan profesional.

 

Apa yang penting tegasnya ialah mereka hanya perlu memperbanyakkan lagi pelbagai bidang ilmu di samping membentuk imej ulamak dalam usaha melahirkan syaksiyyah yang mulia.