BERITA MALAYSIA


October 26 , 1999 18:33PM

 

LANGKAH PAS UNTUK DEKATI BUKAN ISLAM

 

KOTA BAHARU, 26 Okt (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Pas bersetuju menggugurkan cadangan untuk menubuhkan negara Islam dalam manisfesto bersama gabungan parti-parti pembangkang dengan tujuan untuk mendekati masyarakat bukan Islam.

"Semua orang tahu bahawa PAS sebuah parti Islam, dasar dia Islam. Tetapi untuk membolehkan kita mendekati orang bukan Islam, maka kita bersetuju untuk menggugurkan (perkataan menubuhkan negara Islam) dalam mesyuarat bersama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang belanjawan Dewan Undangan Negeri Kelantan di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan menggugurkan perkataan penubuhan negara Islam dalam manifesto itu tidak bercanggah dengan kehendak Islam kerana PAS melakukannya sebagai meniru tindakan yang diambil oleh Rasulullah yang sanggup menggugurkan perkataan "Bismillahirahmanirrahim" dan "Muhammad Rasulullah" selepas mendapat bantahan daripada kerajaan Makkah bagi satu perjanjian.

"Jadi Nabi Muhammad boleh berlembut dalam perkara ini.... untuk menyelesaikan masalah yang begitu rumit ketika itu, maka kenapa kita tidak boleh tiru," katanya.

Manifesto 45 muka surat parti pembangkang yang dilancarkan di Kuala Lumpur, Ahad lepas bertajuk "Ke Arah Malaysia Yang Adil" tidak membuat sebarang rujukan mengenai penubuhan negara Islam jika gabungan empat parti dalam barisan itu, PAS, DAP, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia memenangi pilihan raya umum.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata sikap tolak ansur yang diamalkan oleh PAS itu bukan bermakna parti itu menolak Islam sebaliknya dibuat bagi kepentingan agama Islam sendiri.

"Islam ini ada benda yang kita boleh kerjasama dan ada benda yang masing-masing (tidak). Masalah akidah dan ibadat bagi setiap orang Islam mesti terima (tiada tolak ansur)....tetapi masalah darah, nyawa, harta dan sebagainya kita boleh kongsi bersama (dengan bukan Islam)," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa pakatan Barisan Alternatif sebagai rapuh kerana masing-masing mempunyai kepentingan yang berlainan, Nik Aziz berkata tuduhan itu tidak benar dan PAS akan membuktikannya dengan hujah yang lengkap.

Mengenai kemungkinan Pas membentangkan semula Hukum Hudud apabila berjaya memerintah negara ini, Nik Aziz berkata "ya".

Katanya sebagai orang politik menjadi tugas mereka untuk membuat Rang Undang-Undang dan Enakmen manakala pelaksanaan hukum itu diserahkan kepada badan Kehakiman dan mahkamah.

Menurut Nik Aziz semua pihak termasuk bukan Islam tidak sewajarnya bimbang dengan Hukum Hudud kerana setiap hukuman yang dijatuhkan termasuk memotong tangan pencuri hanya dibuat setelah cukup bukti.

"Apa yang ditakut-takutkan. Saya kata orang Cinalah yang paling mustahak terima Hukum Hudud ini kerana orang Cina orang kaya. Kalau orang mencuri dia nak mencuri rumah orang kaya, bukan dia nak mencuri rumah orang miskin," katanya. -- BERNAMA

 


Copyright ©1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.