BERITA MALAYSIA


October 22 , 1999 13:01PM

 

PAS TUMPU DAKWAH KEPADA BUKAN ISLAM

 

KOTA BAHARU, 22 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata PAS sedang menumpukan kapada kegiatan dakwah di kalangan orang bukan Islam supaya mereka memeluk agama itu.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata pelbagai teknik sedang digunakan termasuk melalui ceramah politik dan penulisan supaya mereka benar-benar faham tentang Islam.

"Apabila mereka terima Islam mereka boleh memerintah negeri dan negara dengan nama Islam," kata beliau ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Pejabat PAS, di sini hari ini.

Nik Aziz berkata sudah menjadi tanggungjawab orang Islam untuk berdakwah kepada orang bukan Islam dengan pelbagai kaedah asalkan tidak bercanggah dengan kehendak agama itu.

Bagaimanapun katanya, sebelum berdakwah orang Islam sendiri mestilah memahami hukum-hakam Islam kerana pernah terdapat mereka yang mendakwa kononnya orang Islam boleh berbuat sesuka hati terhadap orang bukan Islam.

Nik Aziz berkata dakwaan itu adalah karut kerana Islam tidak membenarkan orang Islam melakukan perbuatan sesuka hati kepada orang bukan Islam tanpa mengira bangsa dan agama kerana kesemuanya hamba yang dijadikan Allah.

-- BERNAMA

 


Copyright ©1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.