Umno Cemarkan Institusi Raja

TUMPAT:  Rakyat amat dukacita terhadap tindakan Umno menjadikan institusi raja sebagai alat politik mereka dengan mempamerkan pelbagai sepanduk berlambangkan dacing dan Umno ketika menyambut keberangkatan pulang Sultan dari England, Khamis lalu.
Umno juga melekatkan poster-poster Sultan dan Raja Perempuan Kelantan di batang-batang pokok di Tumpat sebagai meraikan kepulangan baginda.
Bagaimanapun poster-poster berkenaan kini ada yang terjatuh dibawa angin sehingga ke dalam longkang.
Wakil rakyat Kelaboran, Haji Nordin Yaakub berkata, poster-poster berkenaan kini bertaburan di merata tempat di Tumpat dan ada yang terjatuh ke dalam longkang.
"Apa yang berlaku itu seolah-olah menggambarkan Umno menghina institusi raja sehingga menjadi poster raja seperti ceramah parti politik di tepi-tepi jalan," katanya.
Beliau berkata, tindakan Tengku Razaleigh Hamzah itu amat malang sekali kerana mengheret institusi raja ke kancah politik mereka.
Keberangkatan pulang Sultan dan Raja Perempuan Kelantan disambut pemimpin dan penyokong Umno di Pengkalan Kubur dengan laungan 'daulat tuanku' berkali-kali.
Baginda tiba dari Narathiwat di Pekan Takbai (Selatan Thailand), kemudian menyeberangi Laut China Selatan dengan feri khas.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Haji Fuad Hassan berkata, baginda berdua yang turut ditemani anakandanya Puteri Amalin Aishah Puteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narathiwat dan berkereta ke Pekan Takbai.
Baginda disambut Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh, pemimpin-pemimpin Umno dan pengarah-pengarah jabatan persekutuan.
Pegawai kanan kerajaan negeri, ketua-ketua jajahan, penolong-penolong ketua jajahan, penggawa juga turut kelihatan menyambut ketibaan baginda.
Penyokong-penyokong Umno berkumpul dan berbaris dengan memegang pelbagai jenis sepanduk yang berlabelkan 'dacing' lambang Umno sejak jam 12 tengahari lagi.
Pelbagai kata-kata ditulis pada sepanduk termasuk Jange Goba Tuanku (Jangan Rungsing Tuanku), Umno Dun Selising Berdiri Teguh di Belakang Tuanku, Umno Dun Chetok Berdiri Teguh, Taat Setia Kepada Tuanku Tidak Berbelah Bagi dan Parti Gerakan Tetap Bernaung di Bawah Tuanku.
Bagaimanapun hasrat Umno untuk mengumpulkan kira-kira 10,000 rakyat di majlis itu gagal bila hanya lebih 1,000 penyokong Umno hadir. Bas-bas kilang, bas kepunyaan Jabatan Pendidikan Negeri, bas Majlis Sukan Negeri Kelantan dan pelbagai kenderaan sejak awal lagi mengangkut penyokong-penyokong Umno.
Bekas pengawal peribadi Ku Li, Hussin Talib, 64 berkata, perbuatan Ku Li mencemarkan institusi raja dengan melibatkan Umno secara total.
"Biar rakyat menilai sendiri peristiwa yang berlaku itu kerana apa yang dilakukan Ku Li tidak pernah berlaku di negeri-negeri lain," katanya.
Pemimpin-pemimpin utama Umno termasuk Dato' Annuar Musa, Dato' Mustafa Mohamed dan Dato' Ibrahim Ali tidak kelihatan di majlis sambutan tersebut.
Wakil Rakyat Bukit Panau, Ustaz Yusof Mat Sah berkata, wakil-wakil rakyat PAS tidak menerima sebarang surat untuk diminta hadir di majlis tersebut kerana ia dikendalikan Umno.
Katanya, Ku Li tidak usah hendak berlakon kononnya hairan pemimpin PAS tidak hadir sedangkan dia tahu program itu ditaja Umno dan bukannya kerajaan.
 

Mazlan Jusoh