KOTA BHARU: 3 OGOS 99
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyifatkan berlaku unsur-unsur
penyalahgunaan kuasa dalam penyerahan cek bantuan perkapita tahunan Kementerian
Pendidikan kepada Sekolah Menengah Ugama (Arab) bantuan kerajaan Kelantan,
oleh Menteri Pendidikan baru-baru ini. Ekoran itu, laporan Badan Pencegah
Rasuah (BPR) dibuat oleh ketuanya, Takiyuddin Hassan kira-kira jam 3 petang
di ibu pejabat BPR negeri di Wisma Persekutuan, Jalan Bayam di sini, semalam
(Isnin)Takiyuddin berkata, laporan itu dibuat selepas beliau menerima sepucuk
surat yang mengandungi pernyataan cek bantuan perkapita tahunan sekolah
agama rakyat (SAR) berjumlah RM5,670 daripada seorang yang tidak dikenali.
Menurutnya, surat yang dialamatkan kepada Guru Besar SMU (A) Tarbiah
Islamiah Kampung Kajang, Lalang Pepuyu Tanah Merah itu diterima pada 31
Julai lepas yang bertandatangan Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan Islam
dan Moral Jabatan Pendidikan Kelantan (JPK), Haji Mohd Nawi Mohamed.
Katanya, beliau agak terperanjat apabila membaca perenggan empat surat
tersebut yang berbunyi: "Untuk makluman tuan, sila rujuk kepada Ketua
Umno Bahagian Jeli untuk menerima cek di atas". "Daripada kandungan
perenggan empat surat itu, saya mengesyaki berlakunya suatu penyalahgunaan
kuasa oleh pihak tertentu dengan menggunakan jabatan kerajaan untuk tujuan
politik mereka.
"Saya tidak nampak apa kaitannya di antara Ketua Umno Bahagian Jeli
dengan bantuan perkapita tahunan sekolah berkenaan (SAR) yang dibayar melalui
Jabatan Pendidikan Kelantan," ucapnya kesal.
Sehubungan itu, katanya, DPPNK memandang berat berhubung penyelewengan berbentuk salahguna kuasa tersebut dan menggesa pihak BPR membuat siasatan rapi terhadap mereka yang terbabit di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1975.
Akhbar Jumaat lepas melaporkan Menteri Pendidikan menyerahkan bantuan
perkapita kepada 74 sekolah agama rakyat (bantuan kerajaan Kelantan) berjumlah
RM2.4 juta untuk bayaran elaun tambahan guru-guru dan pembangunan sekolah.
Bantuan itu dibuat sempena program motivasi keibubapaan Sekolah Menengah
Geting di Tumpat.
"Persoalannya di sini ialah SAR yang diberi bantuan perkapita oleh
kementerian tetapi sebenarnya mereka tidak menerima cek pada hari berkenaan
sebaliknya menerima satu surat (ber`letter head') Jabatan Pendidikan Kelantan.
"Apa yang menjadi perhatian saya ialah dalam satu perenggan surat itu
dinyatakan guru besar berkenaan perlu menghubungi Ketua Umno bahagian untuk
menerima cek.
"Soalnya sekarang siapa yang hendak mengambil alih SAR, kerajaan pusat
atau Umno?," soalnya tegas.
Sementara itu, beberapa guru besar sekolah agama bantuan yang menerima
surat bantuan tersebut memberitahu masih belum menerima cek berkenaan dan
diarahkan untuk menghubungi ketua bahagian di kawasan berdekatan.(Wan)
Harakah Kelantan