BELANJAWAN TAHUN 2000 
KERAJAAN NEGERI KELANTAN:

TERNAKAN & KEADILAN SOSIAL

TERNAKAN

YB Tuan Yang DiPertua, 

52. Selain daripada industri pertanian, Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan kepada perkembangan industri ternakan yang mana komoditi utama yang diberi tumpuan ialah lembu/kerbau, ayam, telor, kambing dan bebiri, dan susu segar. 

53. Negeri Kelantan merupakan negeri pembekal ternakan lembu dan kerbau yang utama kepada negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Dalam tahun 1998, populasi ternakan lembu mencapai 134,507 ekor dengan bilangan pemunya seramai 688 orang penternak komersial. 

54. Bilangan ternakan lembu yang dieksport mencapai 2,053 ekor dan kerbau sebanyak 200 ekor ke negeri-negeri Johor, Kedah, Pahang, Perlis, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

55. Pengeluaran tempatan daging lembu/kerbau mencapai tahap sara diri 60.1 peratus dalam tahun 1998 dimana sebanyak 4,703 metrik tan dihasilkan untuk kegunaan tempatan. Walaupun kadar pertambahan bilangan ternakan lembu meningkat sekitar 2 peratus setahun, namun dijangka ianya masih tidak dapat memenuhi permintaan. Sehubungan dengan itu, beberapa program sedang dan akan dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran dan ekonomi penternak. Program-program ini termasuklah Program Integrasi Tanaman Kekal sepert di Felda Chiku, Gua Musang dan Kemahang Tanah Merah. 

56. Dari segi pengeluaran daging ayam, Negeri Kelantan masih lagi bergantung kepada bekalan anak ayam dari luar sebanyak 1.0 juta hingga 1.2 juta ekor sebulan. Walaupun begitu pengeluaran anak ayam dari pusat penetasan tempatan di Bechah Kemuning, Machang telah sedikit sebanyak mengurangkan pengaliran wang ke negeri lain untuk bekalan anak ayam. Disamping itu, penternakan ayam beserta dengan tanaman jagong bijirin yang di pelopori oleh Kumpulan Pertanian Kelantan telah terus maju bagi meningkatkan pendapatan petani-petani di kawasan tanah sawah terbiar. 

57. Sehubungan dengan itu , bagi memastikan perkhidmatan veterinar dilaksanakan dengan baik dan secara pro aktif, maka Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 5.07 juta untuk pengurusan dan pembanguan industri ternakan di Kelantan. 

KEADILAN SOSIAL

YB Tuan Yang DiPertua, 

58. Kerajaan Negeri akan terus memikul tanggong jawab yang diamanahkan dengan adil agar semua kekayaan dan kemakmuran negeri dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Sejumlah RM 41.21 juta atau 16.1 peratus dari keseluruhan belanjawan akan diperuntukkan kepada Sektor Sosial. 

59. Usaha-usaha pembinaan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) dan Skim Pertapakan Dan Kemudahan Asas (SPKA) diseluruh negeri Kelantan akan terus dijalankan memandangkan ianya merupakan objektif utama untuk mempertingkatkan taraf hidup serta pertumbuhan sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah. 

60. Pada tahun 2000, sejumlah RM 5.46 juta diperuntukkan bagi pembinaan lebih banyak Rumah Awam Kos Rendah. Sebanyak 200 unit di Tujuh, Tumpat dan 32 unit di Semut Api Fasa II serta kerja-kerja menambun tanah di Bunut Susu Fasa II bagi pembinaan Rumah Awam Kos Rendah akan dilaksanakan. Sementara itu kerja-kerja pengambilan tanah untuk projek Rumah Awam Kos Rendah di Jeli sudahpun dikenal pasti dengan nilaian sebanyak RM 420,000. 

61. Keadaan ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam penyediaan kemudahan perumahan yang selesa dan sempurna dengan banyak dan murah supaya setiap rakyat di Negeri Kelantan khususnya golongan berpendapatan rendah mempunyai peluang dan kemudahan untuk memiliki rumah sendiri setimpal dengan kemampuan dan kehendak masing-masing. 

62. Baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah ke hadapan dengan membahagikan lot-lot kediaman kepada kakitangan dan pekerja Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn. Bhd. di Gua Musang. Seramai 278 kakitangan dan pekerja yang berkhidmat di syarikat berkenaan diberi lot kediaman di kawasan seluas 75 ekar. Pembahagian lot-lot kediaman yang dianggap pertama seumpamanya di negara ini, jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri tidak mengabaikan nasib rakyat. Khidmat serta titik peluh pekerja-pekerja untuk memajukan ladang ini telah dihargai dan pemberian tanah oleh pihak syarikat adalah merupakan cagaran kepada mereka untuk masa depan. 

63. Kerajaan sangat prihatin terhadap nasib gologan yang kurang bernasib baik dan kurang berupaya dengan menyediakan berbagai perkhidmatan kepada mereka termasuklah bantuan kewangan, perkhidmatan, latihan, pengajian dan perlindungan. Pada tahun 2000, Kerajaan menyediakan peruntukan meliputi bantuan kepada keluarga miskin, mangsa malapetaka seperti banjir, kebakaran, ribut dan sebagainya dan juga bantuan kepada badan-badan kebajikan sukarela. Sejumlah RM 5.97 juta diperuntukkan bagi menjayakan program-program tersebut.