BELANJAWAN TAHUN 2000
KERAJAAN NEGERI KELANTAN:

PERTANIAN 

YB Tuan Yang DiPertua, 

42. Sektor pertanian merupakan nadi kepada pembangunan ekonomi Negeri Kelantan. Dan ianya masih menjadi penyumbang terbesar peluang pekerjaan kepada penduduk Negeri Kelantan, dimana pada tahun 1995, dianggarkan seramai 90,837 orang bergantung kerja kepada sektor ini. 

43. Menyedari keadaan ini, Kerajaan Negeri akan menggandakan usaha bagi memaksimumkan pendapatan petani dan usahawan tani melalui penggunaan sumber secara optimum dengan penekanan kepada penambahan produktiviti buruh dan modal serta intensiti penggunaan tanah ke arah mewujudkan sektor pertanian yang moden dan komersial. 

44. Pada tahun 2000, sektor pertanian diperuntukkan sebanyak RM 42.63 juta bagi perbelanjaan pengurusan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti pembangunan di negeri ini. 

45. Di bawah Program Pembangunan Komoditi, penekanan utama dalam peningkatan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negara adalah dengan menggalakkan dan memajukan tanaman-tanaman yang berpotensi disamping tanaman-tanaman lain yang sedia ada. Pada tahun 2000, Kerajaan merancang untuk melaksanakan aktiviti pembangunan tanah terbiar yang melibatkan aktiviti tanaman padi seluas 40 hektar, tanaman buah-buahan seluas 160 hektar dan sayur-sayuran seluas 425 hektar yang melibatkan seramai 257 petani. 

46. Pada umumnya, pengeluaran padi di Negeri Kelantan telah mengalami peningkatan. Pengeluaran padi di musim penanaman tahun 1997 adalah sebanyak 320,000 metrik tan. Purata pengeluaran padi sehektar telah meningkat dari 3.7 metrik tan per hektar pada tahun 1990 kepada 4.4 metrik tan per hektar pada tahun 1997. 

47. Di bawah Program Industri Padi, seluas 3,000 hektar akan dimajukan yang akan memberi munafaat kepada 2,050 orang petani. Melalui program ini Kerajaan akan memberi tumpuan kepada aktiviti meratakan tanah dan memperbaiki sistem saliran. Ini bagi memastikan penggunaan air yang berkesan dan seterusnya meningkatkan pengeluaran padi. Pada tahun 2000, Kerajaan masih memperuntukkan sejumlah RM 3.5 juta bagi Program Subsidi Baja Padi kepada petani-petani walaupun ianya membebankan Kerajaan yang sepatutnya tidak berlaku. 

48. Bagi mempertingkatkan lagi pengeluaran tanaman dan pendapatan petani, beberapa program telah dirancang. Program Ternakan Ikan Keli Dalam Sawah telah diperkenalkan bagi membantu mengawal perosak padi dan meningkatkan bahan organik dalam sawah. Ianya akan dapat meningkatkan pengeluaran padi disamping mengurangkan kos penggunaan racun. Pada tahun 2000 sebanyak 220,000 anak ikan keli dirancang akan diternak oleh 55 orang petani dikawasan sawah padi seluas 55 hektar. Projek ini dijangka akan dapat memberi pendapatan sampingan sebanyak RM 206,250 kepada petani-petani. 

49. Program Pemeliharaan Itik Muscovy juga diperkenalkan kepada petani-petani bagi membantu meningkatkan pendapatan petani-petani. Itik Muscovy ini diternak di dalam reban dan akan dilepaskan ke sawah padi selepas padi dituai untuk memakan sisa-sisa padi dan rumpai. Pada tahun 2000, sebanyak 6,400 ekor itik dicadangkan akan dipelihara oleh 64 orang peserta. Projek ini dijangka akan menghasilkan pendapatan sampingan sebanyak RM 57,600 kepada peserta-peserta. 

50. Petani juga digalakkan memproses jerami padi yang telah dituai dan lain-lain sisa tanaman untuk dijadikan baja kompos. Ini adalah satu langkah Kerajaan bagi mengelakkan pencemaran udara melalui pembakaran jerami disamping dapat meningkatkan pendapatan petani-petani melalui jualan baja kompos. Pada tahun 2000 dijangka 300 metrik tan baja kompos dapat dihasilkan oleh petani-petani dengan nilaian sebanyak RM 150,000. 

YB Tuan Yang DiPertua, 

51. Tanaman buah-buahan juga telah menjadi semakin penting di Kelantan. Melalui Program Industri Buah-Buahan seluas 1,090 hektar kawasan tanaman buah-buahan telah dimajukan melibatkan 1,990 orang petani. Untuk mengurangkan import buah limau langkat dari negara jiran, pengeluaran limau langkat jenis Limau Madu dalam negeri perlu dipertingkatkan. Oleh itu, pada tahun 2000 sebanyak 25,000 anak pokok Limau Madu akan ditanam di kawasan seluas 89 hektar di seluruh negeri Kelantan. Disamping itu, sebanyak 12,220 anak pokok Jambu Madu akan ditanam di seluruh negeri yang meliputi kawasan seluas 43 hektar.