BELANJAWAN TAHUN 2000
KERAJAAN NEGERI KELANTAN:

PENDIDIKAN ISLAM BERKUALITI 

YB Tuan Yang Di Pertua, 

35. Suka saya memaklumkan di Dewan yang mulia ini bahawa satu penghormatan telah diberikan kepada dua buah sekolah Yayasan Islam Kelantan iaitu Maahad Muhammadi ( Lelaki ) dan Maahad Muhammadi (Perempuan ) dimana para pelajar yang mempunyai kelulusan yang baik di dalam peperiksaan Sijil Tinggi Ugama ( STU ) telah diterima masuk ke tahun satu Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM) mulai sesi pengajian tahun 1999/2000. Buat permulaan seramai 51 orang telah diterima oleh pihak UKM dan mereka telah ditawarkan mengikuti pengajian dalam bidang Syariah, Usuluddin, Bahasa Arab, Dakwah dan Al Quran. 

36. Dengan pengiktirafan ini, para pelajar telah dapat memendekkan masa pengajian mereka oleh kerana sebelum ini hanya pelajar yang mempunyai Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia ( STPM ) sahaja diterima terus ke tahun satu di UKM. Di samping itu dengan pengiktirafan ini menunjukkan bahawa para pelajar kedua-dua sekolah ini dan sijil keluaran Yayasan Islam Kelantan mempunyai kualiti. 

37. Disamping itu kedua-dua sekolah ini yang mempunyai aliran sains tulin masih mengekalkan pencapaian 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM ) tahun lepas dan tahun-tahun sebelumnya. Kesemua pelajar aliran sains ini telah berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi dalam bidang perubatan, kejuruteraan, sains dan sebagainya. Dan yang lebih menarik lagi apabila seorang pelajar dari Maahad Muhammadi ( Lelaki ) telah berjaya mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Kaherah, Mesir dan dalam peperiksaan yang lepas pelajar ini bukan sahaja telah berjaya tetapi telah muncul sebagai pelajar terbaik di fakulti tersebut mengatasi semua pelajar-pelajar anak negeri sendiri. 

KOLEJ ISLAM ANTARABANGSA SULTAN ISMAIL PETRA ( KIAS ) 

YB Tuan Yang DiPertua, 

38. Satu kemajuan yang cukup membanggakan telah dicapai dimana sebuah pusat pengajian tinggi yang dikenali dengan nama Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) telah dilancarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan pada 24 Ogos 1999. Kolej ini yang buat permulaan mengadakan sesi pengajian di kampus sementara di bangunan kepunyaan Yayasan Islam Kelantan di Nilam Puri, telah memberi peluang kepada para pelajar sekolah-sekolah Agama/Arab di negeri ini khususnya dan luar negeri amnya, menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. 

39. Setakat ini seramai lebih kurang 300 orang pelajar telah memulakan pengajian di sini dalam bidang Usuluddin yang memakan masa selama tiga tahun dan mereka akan menyambung pengajian di Universiti Al Azhar, Mesir selama dua tahun lagi bagi mendapat Ijazah Pertama. 

40. Dalam perancangan akan datang, pihak KIAS akan membuka lebih banyak lagi peluang-peluang pengajian dalam pelbagai bidang. Untuk ini usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi mendapat pengiktirafan dari universiti-universiti dari dalam dan luar negeri. Disamping itu pihak KIAS juga sedang merancang bagi mengadakan kampus induk yang lebih luas dan selesa bagi menampung pengajiannya. 

41. Penubuhan KIAS ini telah melengkapkan hiraki pendidikan kepada penuntut-penuntut sekolah agama di Negeri Kelantan. Adalah diharapkan KIAS akan dapat mewujudkan satu kumpulan cendikiawan profesional yang bukan saja berilmu, tapi berakhlak dan kuat beragama.