BELANJAWAN TAHUN 2000
KERAJAAN NEGERI KELANTAN:
PENDIDIKAN DAN KEROHANIAN 

YB Tuan Yang DiPertua, 

31. Kerajaan Negeri amat menyedari dan sentiasa mengambil perhatian serta memberi penekanan dalam pembangunan pendidikan dan kerohanian. Pada tahun 2000, Kerajaan Negeri bercadang meluluskan peruntukan sebanyak RM 43.79 juta di bawah sektor pendidikan dan kerohanian iaitu 17.1 peratus dari keseluruhan belanjawan. Peruntukan yang besar ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri begitu prihatin terhadap pembangunan insan di dalam bidang keagamaan bagi melahirkan masyarakat yang berilmu, beriman dan beramal dengan ajaran Islam yang sebenar agar keharmonian dan kesejahteraan dapat dicapai di dunia dan juga di akhirat nanti. 

32. Justeru itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM 24 juta untuk pengurusan sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan dan RM 5.17 juta bagi program pembinaan sekolah-sekolah agama, pembangunan pondok-pondok dan pusat-pusat tarbiah dan juga pembangunan Desa Taqwa serta bantuan kepada masjid-masjid dan surau-surau di seluruh jajahan. 

33. Pada tahun ini, empat buah bangunan baru tiga tingkat yang menelan belanja sebanyak RM 3 juta telah dapat disiapkan iaitu SMU (Agama) Amir Indera Petra, Beris Kubur Besar,Bachok, SMU (Agama) Yaakobiah Nipah, Bachok, SMU (Agama) Maahad Muhammadi Tumpat dan SMU (Agama) Al Sabirin Air Lanas, Jeli. Semua ini akan memberi keselesaan kepada para pelajar agar mereka dapat menerima pembelajaran yang lebih sempurna. 

34. Tambahan daripada itu, Kerajaan Negeri mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan peruntukan sejumlah RM 1.7 juta bagi membina 5 buah bangunan baru iaitu di SMU (Agama) Rahmah Kenali, Kubang Kerian, SMU (Agama) Hamidiah,Padang Lepai Kota Bharu, SMU (Agama) Ahmadiah Banggol Judah,Machang, SMU (Agama) Saadah Batu Mengkebang Kuala Krai dan SMU (Agama) Khairiyah Banggol Setol, Rantau Panjang. Pemberian peruntukan ini menunjukkan kerjasama yang cukup baik dan erat antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri berpendapat bahawa isu pengambilan alih sekolah-sekolah agama rakyat tidak patut dipanjangkan.