BELANJAWAN TAHUN 2000
KERAJAAN NEGERI KELANTAN:
KERAJAAN ELEKTRONIK 

YB Tuan Yang Di Pertua, 

27. Teknologi Maklumat (IT) akan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara terutamanya dalam meningkatkan kecekapan produktiviti dan daya saing. Menyedari betapa pentingnya Teknologi Maklumat sebagai pemangkin kepada pembangunan Kerajaan Elektronik, maka Kerajaan Negeri telah bersetuju menubuhkan Pusat Maklumat Negeri yang berperanan merancang, menyelaras dan memperkembangkan budaya penggunaan Teknologi Maklumat dalam pentadbiran dan pengurusan Kerajaan Negeri. 

28. Sehubungan dengan itu, satu sistem rangkaian yang menghubungkan Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dengan Pejabat-pejabat Kerajaan di Kompleks Kota Darulnaim dan semua Pejabat-pejabat Tanah Dan Jajahan akan dilaksanakan. Pelaksanaan ini merupakan langkah perintis ke arah menerapkan penggunaan Teknologi Maklumat di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. 

29. Mulai tahun 2000, rakyat negeri Kelantan akan menikmati faedah daripada Kerajaan Elektronik Kelantan di dalam urusan pembayaran cukai tanah. Sistem Pungutan Hasil Tanah Berkomputer ( SPHTB ) yang sedang dibangunkan sekarang dengan kos sebanyak RM 1.6 juta adalah satu usaha ke arah meningkatkan kecekapan kutipan hasil negeri dan pada masa yang sama memberi kemudahan kepada rakyat membuat pembayaran hasil tanah tanpa batasan daerah. Disamping itu juga Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) juga akan dilaksanakan pada tahun 2000 nanti. Dengan adanya sistem ini, urusan pendaftaran tanah secara manual sekarang akan dikendalikan secara berkomputer sepenuhnya. 

30. Dalam mengendalikan masalah Pepijat Alaf atau Y2K, Kerajaan Negeri telah bersedia dan memperuntukkan sejumlah RM 3 juta bagi menangani 12 agensi yang telah dikenalpasti terlibat dengan masalah tersebut. Tumpuan utama dalam menyelesaikan masalah ini adalah bagi agensi yang terlibat dengan pembayaran gaji, kepentingan awam dan kutipan hasil. Di samping itu juga satu Jawatankuasa Pelan Kontigensi Y2K Negeri dan peringkat Jajahan telah diwujudkan untuk memantau dan membuat maklumbalas kepada Jawatankuasa Pelan Kontigensi Negeri mulai 30 Disember 1999 hingga 4 Januari 2000.