BELANJAWAN TAHUN 2000
KERAJAAN NEGERI KELANTAN:
ANGGARAN PERBELANJAAN KESELURUHAN MENGIKUT SEKTOR 

YB Tuan Yang Di Pertua, 

23. Anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan keseluruhannya mengikut sektor adalah sebagaimana berikut: 

  • 1. Pentadbiran - RM 89.82 juta. 
  • 2. Pendidikan dan Kerohanian - RM 43.79 juta. 
  • 3. Pertanian - RM 42.63 juta. 
  • 4. Sosial - RM 41.21 juta. 
  • 5. Infrastruktur - RM 38.94 juta. 
PENTADBIRAN YANG CEKAP 

24. Selaras dengan matlamat Belanjawan Tahun 2000 untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri, maka perbelanjaan Kerajaan Negeri terpaksa dilakukan dengan lebih berhati-hati agar defisit dalam perbelanjaan mengurus tidak begitu besar. Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan langkah-langkah berjimat cermat dan mengawal perbelanjaan. Agensi-agensi Kerajaan perlulah lebih cekap dalam penggunaan sumber-sumber kewangan dan tenaga manusia disamping berkesan dari segi pencapaian objektif agensi masing-masing. Jika prinsip ini diamalkan, Insya Allah kedudukan kewangan Kerajaan Negeri akan lebih kukuh dan secara tidak langsung akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara. 

25. Peruntukan yang besar di bawah Sektor Pentadbiran iaitu 35 peratus dari keseluruhan belanjawan adalah meliputi pelbagai program dan aktiviti Jabatan-jabatan Kerajaan yang dirancang untuk merealisasikan pembangunan yang menyeluruh bukan sahaja untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat malah mempastikan jentera Kerajaan dapat menjalankan peranannya untuk terus bergiat cergas dalam menggerakkan semula aktiviti-aktiviti ekonomi. 

26. Seiring dengan penubuhan MTEN di peringkat negara, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Kelantan ( MTEN Kelantan ) untuk membantu Majlis Tindakan Ekonomi Negara dari segi melaksanakan strategi-strategi dan program-program pembangunan jangka pendek dan sederhana bagi memulihkan ekonomi negara. Sehubungan dengan itu Kerajaan Negeri telah merangka beberapa program bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran bahan makanan yang sesuai sekurang-kurangnya untuk memenuhi permintaan tempatan.