BELANJAWAN TAHUN 2000
KERAJAAN NEGERI KELANTAN:

ANGGARAN HASIL TAHUN 2000

11. Berdasarkan Anggaran Hasil tahun 2000 yang berjumlah RM 158.76 juta, Hasil Cukai dijangka menyumbangkan sebanyak RM 43.22 juta, Hasil Bukan Cukai berjumlah RM 52.31 juta dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM 63.23 juta.

12. Anggaran Hasil tahun 2000 dijangka akan bertambah sebanyak RM 12.52 juta atau 8.56 peratus berbanding dengan Anggaran Hasil Tahun 1999 berjumlah RM 146.24 juta.

13. Pertambahan kutipan hasil pada tahun 2000 adalah berpunca dari kenaikan yang ketara dari sumber hasil tanah.  Kerajaan Negeri dijangka akan dapat mengutip sebanyak RM 34.17 juta dari sumber hasil tanah iaitu kenaikan sebanyak RM 6.65 juta berbanding dengan anggaran kutipan hasil tanah tahun 1999 berjumlah RM 27.52 juta.

14. Kerajaan Negeri sentiasa prihatin bahawa prestasi ekonomi negara banyak dipengaruhi oleh perbelanjaan dalam negeri.  Oleh itu, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan.  Ini termasuk mempercepatkan kelulusan bagi permohonan tanah oleh Agensi-agensi Kerajaan atau swasta bagi tujuan pengeluaran pertanian atau pembinaan projek-projek produktif yang boleh meningkatkan daya pengeluaran negara.  Ini dapat dilihat daripada hasil premium tanah yang diterima pada tahun 1998 iaitu sebanyak RM 10.63 juta berbanding kutipan premium tanah pada tahun 1997 sebanyak RM 3.73 juta sahaja.  Pada tahun 2000 dijangka Kerajaan Negeri akan dapat mempertingkatkan kutipan hasil premium tanah ekoran dari kelulusan kawasan-kawasan pembangunan untuk pertanian dan juga ladang-ladang hutan kepada agensi-agensi Kerajaan dan juga swasta.  Adalah dijangka pemulihan ekonomi akan mendorong pelaksanaan projek-projek pembangunan pusat-pusat pertumbuhan baru seperti di Tok Bali,n Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang dan juga terlaksananya projek-projek kilang simen dan kilang marmar yang telah terbantut akibat kemelesetan ekonomi.

15. Kerajaan sedar bahawa sumber hutan tidak lagi menjadi sumber utama hasil negeri sedikit masa nanti.  Walaupun begitu, Kerajaan sedang mengambil tindakan ke arah mengekalkan pendapatan hasil hutan agar ianya tidak terus merosot.  Tindakan-tindakan seperti penanaman semula hutan, serta pengurusan yang lebih baik akan terus dijalankan.  Pada tahun 2000 dijangka hasil hutan yang akan dapat dipungut ialah sebanyak RM 38.1 juta.

16. Langkah-langkah akan terus diambil bagi mencari punca baru hasil negeri.  Kutipan hasil tertunggak seperti tunggakan rumah awam kos rendah dan tunggakan cukai tanah.  Tunggakan dari rumah awam kos rendah adalah sesuatu yang bermakna kepada kedudukan kewangan negeri.  Begitu juga dengan tunggakan hasil tanah yang melibatkan kerugian hasil kerajaan berjuta-juta ringgit.  Sungguhpun notis 6A yang membolehkan kerajaan membuat rampasan tetapi pilihan ini adalah berada didalam keutamaannya yang terakhir.  Seharusnya suasana bertimbang rasa dalam penentuan dan pembahagian tanggungjawab antara rakyat dan pemerintah adalah perkara asas memerlukan kesedaran bersama.  Keadaan saling memahami perlu ada antara kedua pihak agar imbangan pertanggungjawaban rakyat vs kerajaan sentiasa dapat dipertahankan.

Di samping usaha di atas, sumber-sumber hasil negeri yang baru juga perlu dikenal pasti.  Di antara yang menarik adalah melihat senario penemuan tiga belas trillion tong minyak di Pantai Senok sebagai punca yang penuh potensi.  Sungguhpun akhirnya Kerajaan Negeri memerlukan 'lampu hijau' dari Kerajaan Persekutuan sebelum memulakan operasi carigali yang sebenar bagi maksud pengeluaran, namun kerajaan telah menyediakan beberapa projek asas sebagai denak kepada pendaratan gas yang lebih besar seperti pembukaan kilang tong gas dan sebagainya.